Pelbagai persoalan akan dibangkitkan dalam Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-12 pada hari ini. Salah satu isu yang akan dibangkitkan dalam persidangan tersebut adalah berkaitan gangguan seksual dan mesej ‘spam’ yang mempromosikan perjudian dalam talian.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, Noorita Sual (PH-Tenom) telah mengajukan persoalan tersebut pada sesi soal jawab. Dalam sesi soal jawab itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu menyatakan komitmen kerajaan dalam usaha memperkenalkan Akta Gangguan Seksual serta garis masa akta itu akan dibentangkan.
Selain itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia juga telah diajukan satu soalan oleh Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) berhubung usaha pelaksanaan kementerian bagi mengatasi isu mesej ‘spam’ yang telah mempromosikan perjudian secara dalam talian.
Bukan itu sahaja, Mohd Nizar juga telah mempersoalkan kewujudan sebarang penglibatan pengendali syarikat telekomunikasi yang berkomplot dengan sindiket tersebut bagi tujuan penjualan data peribadi pengguna.
Takwim Parlimen menunjukkan bahawa bermula hari ini sehingga Khamis, Persidangan Dewan Rakyat dijangka diteruskan dengan sesi penggulungan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) oleh kementerian.
Seramai 131 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang serta Bebas sebelum ini telah mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat dasar Bajet 2022 selama tujuh hari bermula 1 November lepas.
Untuk makluman semua, Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 16 Disember 2021.
Sumber: Twitter BERNAMA TV