JOHOR BAHRU, 16 Nov (Bernama) — Seramai 14 lelaki dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam dua insiden pergaduhan ditahan di Seri Alam dan Kulai, dua hari lepas lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan mendapati lima individu yang ditahan merupakan anggota kumpulan kongsi gelap 36, empat anggota kumpulan 21 manakala lima lagi adalah anggota kumpulan 04, dan kesemua
Beliau berkata kesemua mereka yang berumur 21 hingga 40 tahun diberkas menerusi maklumat awam serta risikan, dan mereka kini direman sehingga 17 Nov, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Punca pergaduhan dipercayai akibat salah faham dan pertengkaran mulut semasa mereka semua mabuk,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini hari ini.
Sementara itu Ayob Khan berkata pihaknya turut menahan 16 lelaki berumur antara 17 dan 50 tahun disyaki anggota kumpulan kongsi gelap, menerusi Ops Cahaya yang dilancarkan di seluruh negeri pada 28 Okt sehingga 10 Nov lepas.
“Kita memeriksa 30 individu dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap berdasarkan 66 kes kekerasan yang kita terima, dan hasil siasatan mendapti 16 daripadanya adalah anggota kumpulan kongsi gelap, yang kita dapat kesan menerusi tatu dan lambang pada tubuh badan mereka,” katanya dan menambah, mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.
Beliau berkata sejak awal Januari lepas sehingga hari ini, pihaknya telah menahan seramai 70 individu daripada tujuh kumpulan kongsi gelap mengikut Akta Pertubuhan 1966.
Katanya daripada 70 individu terbabit, 29 adalah Geng 21, 16 individu Geng 36, sembilan individu Geng 04, lapan individu Geng 08, dua Geng Hong Kong San, lima Geng NGO Sek Kee dan seorang daripada Geng Kong Kia.
“Daripada kesemua yang ditahan ini, 20 individu iaitu 13 daripada Geng 21 dan tujuh daripada Geng 36 turut diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” katanya.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, polis sedang berusaha mengesan sekumpulan lelaki yang disyaki terlibat dalam pergaduhan di Seksyen 5, Bandar Rinching, Kajang, dekat sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata dalam kejadian pagi tadi, anggota polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung satu pergaduhan pada pukul 6 pagi.
Beliau berkata sebaik tiba di lokasi tiada suspek kelihatan, namun polis menemukan dua kereta yang ditinggalkan dalam keadaan rosak serta pecah cemin tingkap, di samping beberapa kesan darah.
“Motif serta punca kejadian masih dalam siasatan dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes merusuh bersenjata di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaid berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes Insp Mohd Ali Hamzah di talian 019-8660324.
Sumber: BERNAMA