Salah satu perkara yang perlu dibanggakan oleh rakyat Malaysia adalah dengan memiliki salah satu daripada enam sub spesies harimau yang wujud di planet ini iaitu Harimau Malaya. Harimau Malaya sering menjadi lambang yang digunakan sebagai simbol-simbol rasmi kerajaan dan ianya juga merupakan ikon negara.
Namun begitu, populasi Harimau Malaya akhir-akhir ini semakin terancam sehingga membuatkan rakyat Malaysia khawatir. Populasi sang belang yang dahulunya banyak, kini berada diambang kepupusan dan ia amat membimbangkan.
Berdasarkan laporan, populasi Harimau Malaya pada 1950 adalah kira-kira 3,000 ekor sebelum jatuh merundum ke satu jumlah yang sangat sedikit kepada 200 ekor sahaja pada masa kini. Oleh itu, semua pihak perlu berusaha untuk menjalankan aktiviti pemeliharaan yang agresif bagi memastikan Harimau Malaya ini mampu bertahan daripada ancaman kepupusan yang teruk pada masa hadapan.
Faktor utama keterancaman spesies ini adalah kehilangan habitat dan fragmentasi hutan. Namun begitu, terdapat juga faktor-faktor sampingan lain yang mendorong kepada kepupusan habitat ini seperti kekurangan sumber makanan. Untuk pengetahuan umum, seekor harimau belang memerlukan antara 25 hingga 50 ekor rusa sambar untuk dimakan dalam masa setahun.
Oleh itu, kerajaan telah meluluskan dan mewartakan Perintah Pemuliharaan Hidupan Liar (Musim Tutup) 2016 bagi memastikan sumber makanan Harimau Malaya ini mencukupi. Dengan kelulusan tersebut, lesen memburu rusa dan kijang telah dibekukan bermula 1 November 2012 sehingga 30 November 2021. Dalam tempoh masa yang telah ditetapkan itu, pemburuan ke atas rusa dan kijang adalah dilarang sama sekali.
Selain itu, faktor lain kepupusan sang belang ini adalah kegiatan pemburuan haram yang berterusan terhadap spesies ini bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan kulit dan dagingnya.
Beberapa faktor tertentu dalam usaha untuk meningkatkan populasi Harimau Malaya ini seperti keadaan persekitaran kondusif, makanan, air dan nisbah betina kepada jantan telah dilakukan. Demografi latar belakang Harimau Malaya menunjukkan bahawa harimau jantan berpotensi untuk mengawan dengan tiga harimau betina bebeza ketika berada di dalam kawasan keliarannya yang sama. Namun begitu, Malaysia sedang berada dalam ancaman kepupusan harimau betina yang banyak sehingga menjadikan jumlah harimau betina tersebut semakin sedikit.
Oleh itu, Malaysia memerlukan lebih banyak harimau betina sekiranya ingin meningkatkan populasi Harimau Malaya di negara ini. Tindakan pembiakan, pemuliharaan dan pembelajaran mengenai Harimau Malaya turut diperlukan demi kelangsungan populasi harimau ini.
Sumber: Sinar Online