Siakap Keli
Kredit: India.com

Remaja 16 Tahun Dakwa Dirogol 400 Lelaki, ’Diganggu’ Anggota Polis Ketika Buat Laporan, Kini Hamil Dua Bulan

Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Wilayah Maharashtra di Beed, India dilapor menjadi mangsa rogol 400 lelaki dalam tempoh enam bulan, lapor India.com baru-baru ini.

Bagaikan keluar mulut harimau masuk mulut buaya, remaja itu melaporkan kes tersebut kepada pihak polis namun malangnya, dia sekali lagi didakwa turut dieksploitasi secara seksual oleh anggota berkenaan.

Difahamkan, pada awalnya remaja itu telah kehilangan ibunya beberapa tahun yang lalu. Meskipun masih belasan tahun, status bujangnya berakhir apabila ayahnya menyuruhnya untuk berkahwin sebulan kemudian.

Bagaimanapun selepas bergelar isteri orang, hidupnya dirundung malang apabila dia mendakwa sering menjadi mangsa pukul dan dera oleh suaminya sendiri serta ipar-duainya.

Selepas setahun tinggal bersama suami dan didera, remaja tersebut tekad pulang ke pangkuan ayahnya. Namun malangnya, orang tuanya itu menolak untuk menjaganya kembali.

Akhirnya dia terpaksa membawa diri ke Stesen Bas Ambajogai dan tinggal di sana selama enam bulan. Sejak dari itulah detik hitamnya bermula apabila dia mendakwa sering dirogol oleh 400 lelaki sepanjang tempoh tersebut.

Dipercayai tidak tahan lagi, remaja itu tekad membuat laporan ke Balai Polis Ambajogai tentang nasib dirinya yang dirogol beratus kali. Namun aduannya tidak dilayan, malah sebaliknya dia turut ‘diganggu’ anggota terbabit.

“Saya telah didera oleh ramai orang. Saya pergi ke Balai Polis Ambajogai beberapa kali untuk buat laporan, tapi polis sana tidak ambil sebarang tindakan terhadap penjenayah terbabit.

“Malah, saya sendiri pun turut ‘diganggu’ polis tersebut,” katanya dalam kenyataan kes, memetik India.com.

Akhirnya pada minggu lepas, aduannya telah diterima dan kesnya difailkan di bawah Akta Larangan Perkahwinan Kanak-kanak bagi menghukum ayahnya yang menyuruhnya untuk berkahwin ketika bawah umur.

Dalam masa sama, sebanyak empat suspek dipercayai perogol dilapor telah ditahan setakat ini dan didakwa di bawah Seksyen Rogol dan Cabul, Kanun Keseksaaan India serta seksyen lain yang berkaitan.

Sumber: India.com / India Today

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.