Setiap daripada kita mesti ada impian untuk memiliki rumah sendiri. Selain memenuhi keperluan asas manusia sebagai tempat berteduh, rumah juga merupakan salah satu hartanah yang bernilai.
Dalam pemilihan rumah, macam-macam perkara yang akan diambil kira. Faktor reka bentuk, lokasi, kemudahan fasiliti dan harga terutamanya sering mempengaruhi keputusan individu untuk membeli sebuah rumah.
Selain ikut bajet, nak beli rumah pun mesti la kita nak yang menepati selera sendiri kan? Kot-kot ada yang teringin nak miliki rumah di tengah kota Chelsea, mungkin rumah warna-warni ni jadi pilihan korang?
Rumah sebesar saiz garaj di United Kingdom (UK) ini dilaporkan dijual dengan harga £395,000 atau kira-kira RM2.2 juta. Rumah jenis studio yang dicat warna-warni itu berkeluasan 22.6 meter persegi serta dilengkapi sebuah bilik tidur dan tandas.

Menurut Yahoo! News, rumah itu terletak di tengah bandar Chelsea, tepatnya di Stewart’s Grove. Rumah berkenaan berada di tepi jalan dan tidak memiliki pagar ataupun laman. Lokasi rumah tersebut dikatakan ideal dan berpontensi untuk disewa atau dijadikan tempat tinggal idaman.
Tambah portal tersebut, harga rumah tersebut seiring dengan nilai hartanah semasa di UK yang mencanak naik dalam tempoh empat bulan terakhir. Nilai berkenaan walaubagaimanapun tidak menunjukkan tanda-tanda akan turun dalam masa terdekat, begitu juga dengan rumah yang terletak di tengah-tengah bandar Chelsea ini.
Purata harga hartanah di negara tersebut dikatakan meningkat kepada £270,027 atau kira-kira RM1.5 juta tahun ini, berbanding 8.1 peratus lebih pada tahun 2020.
Sumber: Yahoo! News