Bila nak menempuh perjalanan jauh, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sering menjadi tempat persinggahan. Manakan tidak, nak memandu selama berjam-jam boleh pegal satu badan kalau tak rehat langsung.
Bagi yang bawa penumpang pulak, sudah pasti ada yang nak ke tandas atau beli apa-apa kudapan yang sering dijual di kebanyakan hentian R&R di lebuhraya. Buat bekal kunyah-kunyah la katakan.
Tapi lain pula jadinya dengan lelaki yang dikenali sebagai Roy Muhd ini. Roy melalui video yang diunggah di akaun TikTok miliknya berkongsi pengalaman haru apabila tersedar ibunya tertinggal di R&R. Video ini mendapat sorotan warga net sehingga ditonton sebanyak 313.6 ribu kali di TikTok.
Dalam video tersebut, dapat dilihat Roy bersama ayahnya di tempat duduk depan sementara seorang kanak-kanak lelaki berbaring di belakang bersama beg tangan wanita di sebelahnya. Pun begitu, pemilik beg tangan berkenaan yang juga ibu Roy ketika itu tertinggal di R&R.
“Nasib baik baru gerak, borak-borak tengok belakang mak aku tak ada, tertinggal kat R&R. Ingatkan tidur, keluar tak bagi tahu,” kata Roy sambil tertawa.
Roy dan ayahnya berpatah balik untuk menjemput wanita tersebut di R&R tempat mereka berhenti sebelumnya. Setibanya mereka di sana, sang ibu sedang menunggu di gazebo sambil memegang sepotong betik yang kata wanita tersebut diberikan oleh polis untuk memujuknya.
“Orang pergi bilik air tinggal. Nasib baik ada polis, nangis aku,” kata ibu Roy, turut ketawa kerana kejadian itu.
Roy ketika dihubungi berkata, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Johor menuju ke Perak dan ibunya pula tertinggal di R&R Tangkak.
Jelas Roy, dia dan ibunya kelihatan tenang dan masih mampu berjenaka ketika kejadian tersebut berlaku kerana wanita tersebut diawasi oleh dua orang polis bantuan PLUS yang turut menghubungi nombor telefon ayahnya bagi memaklumkan perihal ibunya yang tertinggal.
@roymuhd_ Nasib Baik Baru Gerak,Borak2 Tgok Belakang Mak Aku Takde, Tertinggal Kt RNR..Ingatkan Tido,kluar tak bagitau🤣🤣 #alkisah #maktertinggalktRNR #fypシ
“Mak buat hal..”
Menjengah ke ruangan komen, warga net turut terhibur dengan gelagat ibu Roy yang boleh gelak lagi walaupun sempat cemas tertinggal di R&R. Tak kurang juga warga net yang berkongsi cerita mereka yang pernah mengalami pengalaman sama.
Sumber: Roy Muhd