Seekor anak gajah di Aceh mati selepas dua hari dirawat di Pusat Latihan Gajah (PLG) di Saree, Aceh Besar apabila belalainya dikatakan terputus akibat terkena jerat, lapor Detik News.
“Kami tidak dapat meneruskan misi menyelamat. Maklumat daripada pasukan perubatan juga mengatakan gajah itu telah mati pagi ini,” kata ketua Badan Konservasi Sumber Asli Aceh (BKSDA), Agus Arianto ketika mengesahkan berita itu.
Kata Agus, anak gajah itu mengalami kecederaan serius apabila luka pada belalainya sudah terkena jangkitan.

Pegawai BKSDA berkata pihaknya akan menjalankan siasatan bagi menentukan punca sebenar kematian haiwan yang dilindungi itu.
“Belalai gajah itu terlepas dari jerat. Kami telah melakukan usaha semaksimum mungkin untuk merawatnya,” jelas Agus.
Anak gajah itu dipercayai terperangkap dalam jerat di kawasan Desa Alue Meuraksa, Teunom, Aceh Jaya pada Sabtu lalu. Setelah hasil pencarian dilakukan, kumpulan gabungan BKSDA telah menjejak anak gajah tersebut pada hari Ahad.
Menurut informasi awal, anak gajah tersebut didapati bergerak bersendirian dan terpisah daripada kawanan, memetik laporan haluanpadang.com.
Tambah Agus lagi, sisa jerat tersebut masih menempel pada bahagian tengah belalainya dan menjangkakan luka yang dialami sudah lama berlaku.
Sumber : Detik News