Siakap Keli

McDonald’s Malaysia Membayar Zakat Perniagaan Berjumlah RM2 Juta Bagi Tahun 2021

PUTRAJAYA, 17 November 2021 – McDonald’s Malaysia membayar zakat perniagaan berjumlah RM2 juta kepada semua 14 negeri di Malaysia. Pembayaran bagi tahun 2021 ini merupakan jumlah terbesar semenjak McDonald’s Malaysia mula membayar Zakat perniagaan lima tahun lalu, sejak syarikat itu diambil alih Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.

Majlis penyampaian Zakat telah diadakan di McDonald’s Putrajaya Presint 2. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary menyaksikan sumbangan Zakat oleh Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar kepada wakil daripada kesemua 14 Agensi Pungutan Zakat.

“Sumbangan Zakat adalah penting dalam menyokong kebajikan sosial masyarakat yang kurang berkemampuan. Dengan pembayaran Zakat perniagaan oleh McDonald’s Malaysia, diharap ia dapat membantu Agensi Pungutan Zakat di seluruh Malaysia untuk menyediakan bantuan kewangan kepada masyarakat yang memerlukan, serta meneruskan penyaluran bantuan dalam pelbagai bentuk bantuan kebajikan dan pendidikan,” kata Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Menyumbang kembali kepada masyarakat yang memerlukan merupakan nilai teras McDonald’s, sama ada melalui program tanggungjawab sosial korporat mahupun melalui sumbangan Zakat. Inisiatif sebegini tetap menjadi komitmen syarikat kami sepanjang tempoh pandemik COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan. Oleh itu, sumbangan kami pada hari ini amat bermakna di mana kami mampu menyumbang sebanyak RM2 juta dalam Zakat yang juga merupakan jumlah tertinggi kami sehingga kini bagi membantu komuniti yang amat memerlukannya,” kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.

“Sebagai entiti perniagaan 100 peratus milik umat Islam, ia adalah tuntutan keagamaan untuk kami membayar zakat untuk diagihkan kepada golongan masyarakat yang memerlukan. Zakat adalah salah satu daripada lima rukun Islam, dan sebagai sebuah syarikat yang mengendalikan operasi di lebih 300 restoran di seluruh negara ini, menyantuni komuniti di tempat kami beroperasi sentiasa menjadi keutamaan kami. Kami berharap sumbangan kami kepada semua 14 negeri akan terus membantu golongan miskin di seluruh negara, terutamanya dalam keadaan hidup semasa yang penuh dugaan ini,” tambah Azmir.

Pada tahun 2019, McDonald’s Malaysia merupakan entiti perniagaan yang pertama menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP. Sijil ini mengiktirafkan perniagaan Malaysia bagi sumbangan zakat korporat mereka di negeri-negeri Wilayah Persekutuan. Selain itu, pada bulan Oktober 2020, McDonald’s Malaysia juga telah menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada Lembaga Zakat Selangor.

Sijil-sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat melengkapi Pensijilan Halal yang sedia dimiliki McDonald’s Malaysia.

“Halal di McDonald’s Malaysia merangkumi seluruh rantaian bekalan sumber dan operasi, daripada rasa makanan dan bahan ramuan halal, hingga kebersihan restoran dan program komuniti yang syarikat turut serta,” kata Azmir.

McDonald’s Malaysia merupakan antara restoran khidmat segera pertama di Malaysia yang menerima pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Penglibatan aktif syarikat ini dalam pelbagai program Halal sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), HALFEST, dan Sidang Kemuncak Halal Sedunia.

Untuk memastikan standard Halal yang ketat sentiasa dipatuhi di McDonald’s Malaysia, syarikat ini telah membentuk Jawatankuasa Halal Dalaman pada tahun 2013 untuk memantau pematuhan sepenuh secara menyeluruh.

" "