Kehebatan pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam mempertahankan ruang udara negara tidak dapat disangkal lagi.
Selain pesawat Sukhoi Su-30MKM dan Boeing F/A-18D Hornet, pesawat BAE Hawk juga merupakan pesawat pejuang kebanggaan TUDM yang pernah menggalas tugas besar semasa krisis pencerebohan di Lahad Datu.

Pesawat BAE Hawk merupakan sebuah pesawat latihan lanjut buatan British Aerospace and Engineering (BAE) yang melakukan penerbangan sulungnya pada 21 Ogos 1974.
Pesawat yang pada awalnya dikenali sebagai Hawker Siddeley Hawk ini turut digunakan oleh TUDM dan beberapa negara lain termasuk negara pengeluar sendiri.
Selain berperanan sebagai pesawat latihan, Hawk juga berfungsi sebagai pesawat serangan ringan berkos rendah, di mana setakat ini sudah lebih 900 unit pesawat Hawk telah dijual kepada 18 buah negara.
Di Malaysia, pesawat Hawk 108 dan 208 mula memasuki perkihidmatan TUDM sekitar tahun 1996 yang ditugaskan sebagai pesawat bantuan rapat udara, sepertimana negara-negara lain.
Malah lima buah pesawat Hawk MK208 pernah digabungkan bersama dua pesawat pejuang F/A-18D Hornet dalam Operasi Daulat (Ops Daulat) di Lahad Datu, Sabah. Ketika itu, pesawat-pesawat tersebut ditugaskan untuk melakukan serangan udara ke atas kubu gerila sebelum digempur pasukan Angkatan Tentera Diraja Malaysia dari jalan darat.
Sumber: Malaysia Military Power, Wikipedia