Isu tanah pusaka diceroboh oleh pihak luar ini bukanlah perkara yang asing hari ini. Kes seperti ini biasanya terjadi ketika tuan tanah atau pewaris tidak menetap di tanah pusakanya di kampung, berkemungkinan ia terbiar tanpa dipantau.
Ketika inilah pihak tertentu dari luar mungkin mengambil kesempatan untuk menceroboh masuk ke tanah pusaka tersebut dan buat seperti tanahnya sendiri. Ada yang dirikan bangunan, kebun, ladang ternakan dan seumpamanya.
Soalnya, macam manakah caranya untuk kita ‘menghalau’ mereka dari tanah kita dengan cara mengikut undang-undang? Inilah yang mahu dikongsikan oleh peguam hartanah, Syazwan Mohd Jafri seperti perkongsian di bawah ini.
Semoga perkongsian peguam ini dapat dijadikan panduan untuk kes-kes seumpamanya pada masa akan datang. Semoga bermanfaat!
Peguam kongsi cara nak buat kalau ada penceroboh kat tanah sendiri
Salam dan selamat pagi warga T.A.H.i, selamat bertukang. Pagi ni mungkin ada yang mengalami masalah tanah/rumah diduduki individu lain secara haram dan tanpa kebenaran.
Nak pergi halau sendiri risau pihak sana report polis dan lain-lain, jadi mungkin boleh lihat perkongsian pagi ni untuk penyelesaian. Sekian terima kasih warga T.A.H.i dan admin!
Ada squatters pulak kat tanah aku ni. Suka hati je buat harta sendiri. Camne nak halau ni?
Bayangkan situasi ini. Tanah/rumah/hartanah pusaka atau kita sendiri punya di kampung, bila kita balik untuk jenguk, nampak ada penghuni tanpa izin, menetap secara haram. Paling teruk, dah buat macam harta sendiri bina rumah seluas boleh dan korek tanah sini sana.
Jadi apa tindakan yang kita boleh ambil sebagai pemilik hartanah tersebut? Sharing agak ringkas hari ini jadi mari kita mulakan.
PENCEROBOH ATAU ‘SQUATTERS’
Squatters di bawah undang-undang boleh diertikan sebagai individu yang menetap di tanah orang lain tanpa kebenaran dan secara haram. Mereka juga tiada bayar apa-apa pada pemilik hartanah.
APA TINDAKAN YANG BOLEH DIAMBIL OLEH PEMILIK HARTANAH?
Di bawah Aturan 89 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, pemilik hartanah boleh mendapatkan perintah milikan hartanah kembali dengan menfailkan Saman Pemula ke mahkamah tinggi. Kiranya, dengan perintah ni, squatters akan boleh kena evicted (dihalau) tanpa rasa takut lagi dah.
ATURAN 89 KAEDAH-KAEDAH MAHKAMAH 2012
Kelebihan menfailkan Saman Pemula di bawah aturan ini adalah, pemilik hartanah tidak perlu mengenali atau mempunyai butiran pengenalan tentang squatters itu sendiri – tidak seperti saman sivil yang lain-lain.
Aturan 89 ini kiranya ‘memahami kesusahan’ pemilik hartanah dan cukup sekadar menunjukkan dia adalah pemilik hartanah, dan tanah sememangnya diduduki oleh squatters. Di samping itu juga, Saman Pemula ini boleh dikira cepat, ringkas dan menjimatkan masa.
Dalam Saman Pemula ini juga kita akan masukkan perintah untuk menggunakan kekerasan yang munasabah dengan bantuan pihak berkuasa, serta melupuskan barangan squatters tanpa sebarang implikasi semula kepada kita.
INFO TAMBAHAN
Saman Pemula ini tak terpakai untuk kes-kes yang mana penyewa tidak membayar sewa tapi masih menduduki rumah. Kes sebegitu adalah berbeza dan saya pernah share sebelum ini.
Akhir kata, tujuan sharing kali ni bukan untuk menjadi tidak berperikemanusiaan tapi sekadar berkongsi hak pemilik hartanah ini semua.
Sekian,
Syaz MJ
peguam hartanah anda.

Sumber: Syazwan Mohd Jafri melalui Tukang Apa Hari Ini