Selangor, 17 November 2021 – Sesuatu yang biasa tidak pernah mengubah dunia. Bagi enam anak muda Malaysia, kenyataan tersebut hakikatnya menjadi prinsip pegangan mereka. Para penerima Biasiswa Ulang Tahun Ke-21 University of Nottingham Malaysia (UNM) ini bercita-cita untuk mengubah dunia dengan cara mereka yang tersendiri dalam pelbagai bidang, daripada kejuruteraan alam sekitar kepada sains bioperubatan. Berlandaskan tema, ‘Normal Never Changed the World’ (Biasa Tidak Pernah Mengubah Dunia), Biasiswa Ulang Tahun Ke-21 UNM bertujuan membakar semangat para pemimpin masa depan kita yang mungkin tanpa bantuan ini tidak berpeluang untuk mengejar cita-cita mereka.
“UNM yakin terhadap potensi besar golongan muda Malaysia dan kami mahu memastikan bahawa anak-anak muda ini diberi peluang yang saksama. Pengecualian 100 peratus daripada yuran pengajian sudah tentu akan meringankan beban besar yang ditanggung setiap penerima Biasiswa Ulang Tahun Ke-21. Lebih penting lagi, ia akan memberikan mereka ketenangan fikiran untuk memberikan sepenuh tumpuan mencapai cita-cita masing-masing,” kata Profesor Sarah Metcalfe, Provost Interim dan CEO UNM.
Biasiswa penuh untuk mahasiswa terbuka kepada para pelajar yang memerlukan bantuan kewangan untuk melanjutkan pengajian di universiti ini bagi kursus-kursus kemasukan sesi September 2021. Pihak universiti akan mengecualikan 100 peratus yuran pengajian pemegang biasiswa sepanjang tempoh program ijazah sarjana muda.
Enam penerima Biasiswa Ulang Tahun Ke-21 UNM termasuk pemegang biasiswa Sains Bioperubatan Chong E-Jayn; pemegang biasiswa Ekonomi dan Ekonomi Antarabangsa, Ezekiel Alex George; pemegang biasiswa Ekonomi dan Ekonomi Antarabangsa, Nur Sameera binti Shaik Ismail; pemegang biasiswa Kejuruteraan Kimia dengan Kejuruteraan Alam Sekitar, Ong Hao Zhe; pemegang biasiswa Pendidikan, Vanessa De Run Check; dan Pemegang Biasiswa Kejuruteraan Mekatronik, Yap Yong Jin.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada para penerima Biasiswa Ulang Tahun Ke-21 UNM. Kami melihat potensi besar dalam setiap seorang daripada anda, dan sesungguhnya kami yakin dengan kemampuan anda melakukan sesuatu yang bermakna di dunia,” tambah Profesor Sarah Metcalfe.
Meringankan beban kewangan untuk menangani isu-isu global dari sudut ekonomi
Kos pengajian tinggi mungkin menghalang ramai rakyat Malaysia daripada melanjutkan pengajian mereka; menyedari hakikat ini, biasiswa yang ditawarkan mungkin menjadi talian hayat untuk segelintir pelajar.
Penerima Biasiswa Ulang Tahun Ke-21 UNM, Nur Sameera Binti Shaik Ismail, berkata, “Biasiswa ini amat bermakna buat saya. Pada hakikatnya, ia membuka pelbagai peluang. Pada mulanya saya rasakan bahawa keadaan kewangan saya akan menghalang saya daripada mendapatkan pendidikan yang baik, tetapi biasiswa ini telah mengubah segala-galanya. Menerusi biasiswa ini, mencapai cita-cita tinggi saya bukan lagi impian semata-mata, tetapi sesuatu yang mampu diraih. Pemberian ini juga telah mengembalikan keyakinan saya bahawa dunia ini penuh dengan pelbagai peluang untuk direbut dan dimanfaatkan dan saya boleh melakukan atau menjadi apa sahaja.”
Pelajar berusia 20 tahun ini memang amat meminati bidang ekonomi. Beliau menambah bahawa ekonomi menunjukkan jalan penyelesaian untuk menangani pelbagai isu yang kita hadapi pada hari ini. Beliau yakin dengan ilmu yang ditimba dalam kursus Sarjana Muda Sains dengan Kepujian dalam bidang Ekonomi dan Ekonomi Antarabangsa, beliau dapat memahami selok-belok dan fungsi ekonomi di peringkat dunia serta memberi sumbangan secara bermakna.
Penggiat alam sekitar meningkatkan usaha untuk menangani perubahan iklim
“Pada suatu petang pada tahun 2019, saya tergerak hati untuk membaca surat khabar. Dari situlah saya mula mengenali Greta Thunberg, gadis muda yang lantang dalam perjuangan dan gerakan alam sekitar yang sudah wujud selama berdekad-dekad,” ujar penerima Biasiswa Ulang Tahun Ke-21 UNM, Ong Hao Zhe.
“Kisah dan gerakan iklim Thunberg telah memberi inspirasi kepada saya, dan mendorong saya untuk melakukan lebih daripada amalan biasa seperti ‘jangan guna beg plastik’ dan ‘padamkan lampu bila tidak digunakan’ dan menceburi dunia perubahan iklim antropogenik dan krisis global yang ada hubung kaitnya,” tambah beliau.
Walaupun Ong percaya usaha menangani bencana iklim boleh dilakukan dalam mana-mana kerjaya, beliau telah menemui kerjaya impiannya dalam bidang sains. Secara khususnya, Ong akan mengikuti pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian dalam bidang Kejuruteraan Kimia dengan Kejuruteraan Alam Sekitar (CEE) di UNM.
“Kursus ini akan meluaskan pengetahuan dan pemandangan saya dalam pelbagai aspek, daripada membeli bahan mentah kepada pengurusan sisa dan usaha menjadikan rantaian bekalan kita lebih lestari. CEE hanyalah langkah permulaan. Hakikatnya, saya mahu melengkapkan diri saya untuk melakukan sesuatu yang menjadikan dunia lebih baik untuk dihuni, menerusi tindakan, bukan hanya dengan omong kosong,” kata Ong.
Selain daripada Biasiswa Ulang Tahun Ke-21 UNM, terdapat sembilan lagi biasiswa dan dua dana pendidikan yang ditawarkan kepada pelajar UNM. Profesor Metcalfe menambah bahawa pihak universiti telah menganugerahkan biasiswa berjumlah lebih RM140 juta sejak penubuhannya.
“Kami mahu terus memperkasakan pelajar untuk mengejar impian mereka dan memberikan segala sokongan yang diperlukan mereka untuk mencapai cita-cita mereka yang paling besar,” ujar Profesor Metcalfe.
“UNM sukacita untuk terus memperkasakan dan menyokong pelajar untuk mencapai impian mereka yang paling tinggi dan paling besar, kerana dunia memerlukan perubahan yang luar biasa. Hanya individu yang luar biasa boleh mencetus perubahan global. Saya percaya para penerima Biasiswa Ulang tahun ke-21 memang terdiri daripada individu yang luar biasa,” rumus Professor Metcalfe.
Selama 21 tahun, University of Nottingham Malaysia telah memupuk pembangunan insan yang bercita-cita tinggi untuk melakukan perubahan yang bermakna di dunia. Dengan kurikulum bertaraf dunia dan kecemerlangan penyelidikan yang nyata, universiti ini akan terus mewujudkan suasana yang kondusif untuk pelajar menyerlahkan potensi penuh mereka. UNM berharap untuk mencetus lebih banyak perubahan dalam tempoh 21 tahun yang akan datang.