Siakap Keli
Gambar hiasan | Kredit: Sleep Foundation

Ini Satu Sebab Penting Mengapa Anda Perlu Tutup Lampu Apabila Tidur

Ada orang suka tidur dalam gelap-gelita, ada yang suka tidur dalam keadaan samar-samar. Malah ada juga yang gemar tidur dalam terang.

Tapi tahukah anda, mengikut sudut perubatan, sebenarnya kita digalakkan untuk tidur dalam gelap semasa tidur dengan menutup lampu dan sumber cahaya.

Nak tahu kenapa? Jom ikuti perkongsian daripada laman portal kesihatan Hello Doktor di bawah ini. Semoga bermanfaat dan selamat malam!

Kenapa perlu tutup lampu bilik tidur semasa tidur?

Gambar hiasan via Hello Doktor

Menurut Dr. Margaret Grose, cahaya tiruan ketika waktu malam seperti lampu bilik tidur mengganggu penghasilan melatonin dalam tubuh badan manusia.

Melatonin dihasilkan melalui kelenjar pineal di dalam otak, dan bertindak mengawal selia proses badan seperti kitaran bangun dan tidur sehinggalah kepada mood, tenaga dan selera manusia.

Apa pentingnya melatonin dan kaitannya dengan lampu bilik tidur?

Terdapat kebimbangan mengenai cahaya tiruan ini terhadap kesihatan manusia. Bermula sejak tahun 1980, satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science mendapati, cahaya tiruan menahan pengeluaran melatonin dalam tubuh manusia.

Apakah kepentingan melatonin selain mengawal selia kitaran tidur manusia? Melatonin juga bertindak sebagai bahan anti-kanser atau anti-karsinogen untuk pelbagai tumor.

Penghasilan melatonin ini sebenarnya meningkat secara semula jadi dalam tubuh manusia di antara jam 9 malam sehinggalah 7 pagi.

Pada tahun 2007, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan bahawa cahaya tiruan ini merupakan faktor risiko karsinogenik untuk pekerja syif yang terdedah kepada sumber cahaya seperti lampu bilik ketika waktu di mana manusia sepatutnya tidur.

Pentingnya tidur di dalam gelap, tanpa lampu bilik tidur

Gambar hiasan via Hello Doktor

Pendedahan tubuh manusia terhadap cahaya tiruan ketika waktu malam akan mengubah “jam tidur” dalaman tubuh.

“Jam dalaman” ini adalah satu mekanisme biologi yang mengawal selia kitaran bangun tidur manusia yang boleh mempengaruhi kualiti dan kuantiti tidur.

Melatonin yang dihasilkan pada waktu gelap membantu anda bersedia untuk tidur, dengan cara menghantar isyarat kepada otak bahawa sudah tiba masa untuk tubuh anda berehat.

Isyarat yang dihantar ini kemudiannya memulakan persediaan fisiologi tubuh untuk tidur seperti relaksasi otot, menghadirkan rasa mengantuk dan menurunkan suhu badan.

Cara untuk menyediakan diri sebelum tidur

Gambar hiasan via Hello Doktor
  • Kurangkan pencahayaan dalam bilik dengan menggunakan lampu di dalam bilik berwarna kuning yang kurang cerah berbanding lampu bilik tidur berwarna putih
  • Kurangkan pencahayaan sejam sebelum waktu tidur untuk menggalakkan tubuh bersedia untuk tidur
  • Elakkan penggunaan gajet atau sebarang alat lain yang boleh menyebabkan mata anda kekal segar sebelum tidur
  • Gunakan topeng mata yang boleh membantu anda untuk lebih mudah tidur

Bagi mereka yang tidak biasa tidur dalam keadaan gelap, atau mungkin ‘takut’ berada dalam kegelapan, anda boleh cuba cara-cara seperti yang dinyatakan di atas.

Kesimpulan

Cuba kurangkan penggunaan cahaya di dalam bilik tidur anda, atau jika boleh, tutup semua lampu bilik tidur ketika tidur.

Ternyata, jika anda terus membuka lampu bilik tidur anda ketika anda tidur, ia hanya akan menjejaskan kualiti tidur harian anda.

Untuk mendapatkan tidur yang lena, maka anda perlu menutup lampu di dalam bilik anda. Ia bukan sahaja melenakan tidur anda, malah bacaan bil elektrik anda juga tidak melambung. Sihat dan jimat kan!

Sumber: Hello Doktor

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.