Siakap Keli

Bermula Secara Suka-Suka, Pasangan Ini Tak Sangka Kek Durian Yang Dihasilkan Sendiri Jadi Punca Pendapatan Utama

Perniagaan kek atau manisan yang berasaskan raja buah iaitu durian yang telah dikomersialkan beberapa tahun kebelakangan ini pantas meraih perhatian dan tular di media sosial.

Industri tersebut juga turut dilihat boleh menjadi alternatif pada mereka yang ingin meneruskan kelangsungan hidup di era pandemik COVID-19 ini dengan berniaga selepas diuji dengan dugaan dibuang kerja serta hilang punca pendapatan.

Pasangan suami isteri bernama Mohammad Nasruddin Shah Room dan Nor Fazliah Mohammed yang mengusahakan perniagaan kek Durian Viral (KDV) ini juga turut tidak terkecuali berdepan dengan turun naik dalam kehidupan.

Bermula dengan jualan dari rumah secara ‘homemade’ sejak Ogos 2019 secara suka-suka dan mengikut permintaan itu telah berjaya memikat selera ramai orang dengan ‘tagline’ ‘sebiji tak cukup’.

Tanpa disangka, ianya menjadi serius serta menjadi punca pendapatan utama bagi pasangan berkenaan sehinggakan mampu untuk memiliki dua bangunan operasi selain pejabat sendiri di Setia Alam, Selangor di bawah syarikat KDV Niaga Sdn Bhd.

“Saya, suami dan anak memang hantu durian. Semua bermula sekitar tahun 2019, suami  ada membeli longgokan buah durian. Kemudian baki buah yang ada terfikir nak buat kek berperisa durian. Jadi saya cuba buat resipi ilham ikut tekak sendiri dan suami.

“Daripada untuk makan sendiri, terfikir nak menjualnya. Tak sangka ramai pula yang suka. Bermula dengan mengambil tempahan empat biji sehari. Kemudian, tempahan itu berulang berganda ganda sampai ditempah 100 biji kek sehari. Sebulan pernah cecah 10000 biji kek dihasilkan.

“Masa itu operasi kerja dibuat di rumah kami di Bukit Kapar, Klang dan hanya dibantu seorang jiran di belakang rumah. Saya beri tumpuan utama perniagaan ini dan suami membantu ketika ada masa terluang. Suami pula ketika itu masih bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang,” katanya.

Semasa beroperasi di rumah, permintaan KDV itu sangat memberangsangkan sehinggakan ada pelanggan yang sanggup datang dari jauh untuk mengulang pembelian serta tempahan.

“Asalnya tempahan dan jualan kek durian kami dijual dalam pelbagai saiz termasuk yang bertingkat tingkat. Tapi sebab masa itu tak cukup tenaga pekerja, maka diputuskan hanya satu saiz iaitu 6 inci saja dijual tetapi ada variasi jenisnya.

“Ia dijual dari harga RM30 ke RM75.  Kek ini akan jadi lebih mahal jika lagi banyak isi durian digunakan. Nama viral pada KDV itu diberikan oleh pelanggan setia kami sendiri hingga melekat. Begitu juga dengan tagline ‘sebiji tak cukup’ yang diakui kebanyakan pelanggan dan pembeli,” katanya.

Ketika ditanya berkenaan apakah yang membezakan kek duriannya dengan yang ada di pasaran, ibu kepada empat cahaya mata ini tidak menyangka bahawa resipi yang diilhamkannya sendiri mampu menambat selera ramai sekaligus tular di media sosial.

“Nak ikutkan ramai yang mengusahakan perniagaan kek durian.  Tapi KDV menggunakan isi durian sebenar. Memang rasa asli dan tak ada unsur penipuan dalam  kandungan bahan digunakan. Teksturnya juga lemak dan lembut.

“Sampai ada yang cakap KDV macam ‘Mak Esah’ selera mereka untuk makannya berulang kali. Bayangkan yang tak suka durian pun boleh terjatuh suka.

“Resipi saya biasa biasa saja. Allah yang bagi nikmat sedap itu dengan izin-Nya. Durian jenis D24 dari Pahang kami gunakan kerana meyakini rasanya,” kata graduan Ijazah Teknologi Alam Sekitar itu.

Kini kerja operasi pembuatan KDV dibuat di premis sendiri di bersama 20 orang staf di samping lebih 100 agen di seluruh Malaysia.

“Saya dan suami sebaya berusia 32 tahun. Kami bercinta sejak zaman sekolah menengah di tingkatan tiga lagi. Masing masing melanjutkan pelajaran ikut minat masing masing.

“Saya pernah bekerja dalam bidang khidmat pelanggan tapi hanya setahun saja bertahan. Kemudian  jadi suri rumah menjaga anak. Sebelum sepenuh masa jual kek durian, saya asalnya bermula dengan menjual pelbagai manisan termasuk kek untuk tempahan acara tertentu termasuk majlis kahwin.

“Semuanya dilakukan di rumah. Saya timba ilmu bakeri dengan mendaftar kelas dalam talian dan kursus pengajian jarak jauh  sejak 2016. Suami pula masa itu kerja sebagai juruteknik di sebuah kilang. Tahun lalu, dia diberhentikan kerja dan sama sama bantu kukuhkan KDV,” katanya yang turut mendapat ilmu dan bimbingan daripada jurulatih perniagaan berdaftar.

KDV boleh diakses menerusi

https://beacons.page/kekdurianviral

Aqmal Ezany

I write what is right

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.