Siakap Keli
Gambar: Pinterest, Sarms.Forsale

Dakwa Jong-Kook Pakai Steroid ‘Buat’ Badan, Youtuber Padam Semua Video Tuduhan Selepas ‘Oppa’ Mahu Saman

YouTuber terkenal dan ahli bina badan bernama Greg Doucette yang menuduh Kim Jong-kook menggunakan steroid dilaporkan telah memadam semua video yang berkaitan dengan tuduhan tersebut.

Kesemua video yang berkaitan dengan Kim Jong-kook telah dilaporkan dipadam daripada saluran YouTube Greg Doucette pada 19 November lalu.

Di saluran YouTube Doucette, video bertajuk “Did Kim Jong-kook use drugs or not?” yang dimuat naik pada 31 Oktober serta video bertajuk “I Think I Angry Korea” yang dimuat naik pada 7 November lalu telah hilang. Video bertajuk “Hwang Cheol-soon is Natty?” yang disiarkan oleh Doucette mengenai ahli bina badan Hwang-Cheol-sson juga turut dipadam pada 17 November.

Terdahulu, Greg Doucette dilaporkan telah mendakwa bahawa Kim Jong-kook menggunakan dadah untuk membesarkan ototnya.

Doucette menyatakan bahawa Kim Jong-kook pastinya mengambil bahan terlarang itu semasa dalam proses membina otot, sambil menambah bahawa, “Lelaki mempunyai tahap testosteron yang lebih rendah apabila mereka semakin tua, dan Kim Jong-kok pula dilihat semakin tinggi berbanding di masa lalu.”

Kim Jong-kook telah bertindak menafikan tuduhan menggunakan steroid itu seterusnya membuktikan bahawa dirinya bersih dengan menjalani ujian tahap hormon.

Menurut keputusan ujian tersebut, tahap hormon lelaki Kim Jong-kook ialah 8.38, dan doktor berkata, “Saya tidak fikir ianya adalah suntikan (hormon) luaran kerana bahan prekursor dalam darah anda sudah tinggi.”

Walau bagaimanapun, Doucette tetap meneruskan tuduhannya dengan menyiarkan video tambahan, berkata, “Ujian ini menunjukkan bahawa badan Kim Jong-kook bukanlah membesar secara natural.”

Pada 18 November, Kim Jong-kook telah memuat naik satu video di saluran YouTube miliknya, mengumumkan bahawa tindakan undang-undang yang tegas akan diambil olehnya.

“Semasa saya melalui semua ini, saya berasakan bahawa ianya agak melampau untuk saya terus menontonnya dan hanya mendiamkan diri,” kata Kim Jong-kook.

Selebriti dari Korea Selatan itu juga turut menuntut permohonan maaf daripada Doucette.

“Saya ingin buat orang ramai tahu bahawa tindakan menyebarkan khabar angin yang tak betul kepada seseorang akan memberikan kesan yang buruk kerana ramai orang boleh melihat serta menulis komen negatif dan sebagainya,” ujarnya.

Sumber: KBIZoom

Aqmal Ezany

I write what is right