KOTA BELUD, 19 Nov (Bernama) — Sebuah klinik kesihatan tahap tujuh yang memberi manfaat kepada 1,024 penduduk akan dibina di Pulau Mantanani dekat sini, kata Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Beliau berkata pembinaan klinik kesihatan yang turut memberi perkhidmatan pesakit luar dan ibu mengandung itu dijadual dilaksanakan pada Pelan Pusingan ketiga Rancangan Malaysia Ke-12.
“Sebenarnya permintaan untuk membina klinik kesihatan ini daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sudah lama dan (kini) ia sudah diluluskan, kita harap ia menjadi kenyataan. Jika klinik ini ada, kita tidak dengar lagi ada orang yang terpaksa bersalin di atas bot.
“Klinik kesihatan ini bakal memberi manfaat kepada penduduk di pulau berkenaan selain pelancong yang mengunjungi tempat itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Desa Kampung Payas-Payas di sini hari ini.
Terdahulu, Dr Noor Azmi turut melawat tapak pembinaan klinik kesihatan itu di Pulau Mantanani.
Terkenal sebagai tarikan pelancongan ‘diving site’ terkemuka, Pulau Mantanani terletak di kawasan pantai barat Sabah dihubungkan dengan perjalanan sejam dengan bot dari Jeti Kuala Abai, Kota Belud dan terletak kira-kira 80km timur laut dari Kota Kinabalu.
Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata Klinik Desa Kampung Payas-Payas perlu dinaik taraf sekurang-kurangnya kepada klinik kesihatan tahap tujuh kerana keadaannya yang agak usang.
“Saya lihat klinik desa ini sudah agak tua dan berusia lebih 50 tahun…lantai dan tandas ada yang sudah rosak. Saya akan bawa perkara ini dan bincangkan kepada pihak-pihak yang berkenaan dan kita harap ia dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.
Sumber: BERNAMA