Seorang gadis berasal dari Singapura mendedahkan telah menjadi mangsa cabul bapa angkatnya semenjak dia berusia enam tahun, lapor Yahoo!News.
Mangsa yang kini berusia 18 tahun dilaporkan tidak tahu bahawa apa yang dilakukan oleh lelaki berkenaan merupakan jenayah sehinggalah dia belajar subjek Pendidikan Seks ketika usia 11 tahun. Mangsa juga hanya mengetahui bahawa dirinya cuma anak angkat ketika membuat laporan polis tersebut, 11 tahun selepas dia kali pertama dicabul oleh bapa angkatnya.
Bapa angkat terbabit yang berusia 65 tahun bekerja sebagai seorang penjaja. Lelaki berkenaan dikatakan telah berkahwin dan tinggal di sebuah flat di Punggol bersama isterinya. Dia mengambil mangsa sebagai anak angkat sejak bayi lagi.
Pada hari Khamis 18 November yang lalu, lelaki itu telah dijatuhi hukuman penjara selama 32 bulan dan tambahan 10 minggu selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencabul individu di bawah umur 14 tahun dan satu pertuduhan mencabul.
Hukuman tambahan 10 minggu tersebut dikenakan sebagai hukuman gantian sebatan diatas sebab usia pelaku yang sudah melebihi 50 tahun.
Pelaku turut berdepan dua lagi pertuduhan terhadap mangsa yang sama dan ia sedang dipertimbangkan.
Semua pihak dalam kes itu tidak boleh dinamakan atas perintah hakim bagi melindungi identiti mangsa. Mangsa kini merupakan seorang penuntut di salah sebuah politeknik di sana.
Menurut rekod, mangsa hanya membuat laporan polis pada 2 Oktober tahun lepas selepas mengadu mengenai jenayah tersebut kepada kaunselor di tempat belajarnya.
Sumber: Yahoo!news