Siakap Keli
Gambar: Bernama

Senator Ras Adiba Gesa Majikan Ambil Lebih Ramai Pekerja OKU

LABUAN, 20 (Bernama) — Senator Datuk Ras Adiba Radzi hari ini mengulangi desakannya kepada majikan di seluruh negara supaya menyediakan peluang pekerjaan yang saksama kepada golongan kurang upaya (OKU).

“Apa yang kita belum lihat ialah bukti perubahan ke arah peluang yang sama dalam pekerjaan kepada OKU, tolong layan OKU secara saksama, lihat pada keupayaan kami berbanding kekurangan,” kata Presiden Persatuan OKU Sentral itu kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan bahan peralatan perlindungan COVID-19 kepada Pusat Autism Labuan di sini, hari ini.

(Persatuan OKU Sentral, antara lain, ditubuhkan bagi memperjuang isu berkaitan golongan berkenaan.)

Ras Adiba, yang membawa suara OKU di Dewan Negara, bagaimanapun mengakui bahawa antara masalah yang dihadapi ialah kesukaran mendapatkan statistik terperinci berkaitan isu tersebut.

“Namun yang jelas kadar pengangguran dan guna tenaga tidak penuh dalam kalangan OKU kekal lebih tinggi daripada individu bukan OKU dan tahap pendapatan purata bagi golongan itu secara asasnya masih rendah.

“Secara keseluruhan, bagi masyarakat Malaysia, sukar melihat bukti bahawa kumpulan OKU menikmati faedah ekonomi dan sosial yang sama, yang datang daripada kesaksamaan peluang dan penyertaan dalam pekerjaan,” katanya.

Ras Adiba berkata peluang pekerjaan sepatutnya diberi secara saksama kepada OKU, supaya mereka dapat menyumbang sepenuhnya potensi kemahiran dan kebolehan mereka.

“Saya di sini bukan untuk memberi pandangan muktamad apa yang perlu dilakukan mengenai perkara ini.. tujuan utama saya ialah menyeru majikan untuk menyumbang pengalaman dan kemahiran mereka kepada perbincangan yang lebih luas, tentang bagaimana hendak membuka pintu kepada peluang pekerjaan yang sama untuk OKU, bukan sahaja dalam konteks spesifik perkhidmatan peluang pekerjaan OKU, tetapi juga menerusi keseluruhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Pengerusi Bernama itu juga sekali lagi menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan kenaikan RM100 bagi elaun bulanan RM450 bagi individu OKU bekerja dan RM300 (OKU tidak bekerja), bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup mereka.

Terdahulu, European Credit Investment Bank Ltd, sebuah bank pelaburan luar pesisir, menyumbang 200  kotak topeng muka dan 40 botol pembasmi kuman sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat bank tersebut.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.