Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

(Video) Kantoi Ceroboh Kebun, Gajah Tersangkut Di Pagar Ketika Kelam-kabut Nak Lari

Satu video yang memaparkan seekor gajah tersangkut ketika sedang memanjat pagar untuk melarikan diri selepas kantoi menceroboh sebuah kebun di India telah menjadi tular di media sosial.

Gelagat lucu haiwan itu ketika berada di Taman Negara Nagarhole di Karnataka, India pada 16 November lalu berjaya dirakam kamera.

Video itu menunjukkan gajah tersebut pada mulanya mengimbangi badannya dengan menggunakan sebelah kaki di atas tiang pagar berkenaan.

Dia kemudiannya dilihat meletakkan kaki depannya di atas pagar tetapi malangnya kaki belakangnya tersangkut.

Gajah tersebut tampak bergelut untuk beberapa saat sebelum berjaya memikirkan cara menggunakan kaki belakangnya untuk menolak badannya melepasi penghadang tersebut.

Video tentang kejadian lucu itu telah dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter bernama Supriya Sahu dengan kapsyen ‘Speechless’.

Ianya telah menjadi tular di media sosial. Sehingga kini, video tersebut telah ditonton lebih 300 ribu kali.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right