Siakap Keli
Gambar via Facebook

Kumpulan Konvoi Jangan Berhentikan, Kawal Atau Lencongkan Kenderaan Di Jalan Awam – Polis

Baru-baru ini, sempat tular di media sosial, sebuah video menunjukkan aksi seorang individu yang bertindak sebagai marshal dengan memberhentikan kenderaan di sebuah persimpangan lampu isyarat, dipercayai berlaku di Port Dickson.

Dalam video berdurasi kira-kira seminit hasil rakaman salah seorang pemandu di situ, dapat dilihat seorang individu bertindak mengawal lalu lintas semasa lampu isyarat merah dan memberhentikan kenderaan orang awam di Persimpangan Lampu Isyarat Sua Betong, Port Dickson.

Susulan video tular tersebut, Ketua Polis daerah Port Dickson, Supritendan Aidi Sham Mohamed dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini memaklumkan, pihak polis kini sedang mengesan individu yang bertindak sebagai marshal berkenaan.

Menurut Aidi Sham, individu tersebut bertindak demikian dipercayai untuk memberi laluan kepada sekumpulan konvoi motosikal berkuasa tinggi yang bergerak dari Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala ke Bulatan Sunggala Telok Kemang, melalui persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Tambahnya, kumpulan konvoi yang bergerak di atas jalan raya dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang tindakan memberhentikan, mengawal atau melencong kenderaan di jalan awam tanpa kehadiran pihak PDRM. Hal ini kerana, perbuatan tersebut boleh membahayakan diri serta pengguna jalan raya lain, di samping menyekat kebebasan pergerakan.

Kes kini disiasat di bawah Sekyen 21 Akta Polis dan Sekyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkait kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson atau hubungi talian 06-6472222.

Sumber: IPD Port Dickson

" "