Timbalan Menteri Pertahanan YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz telah mengadakan lawatan kebajikan serta menyantuni keluarga Allahyarham Kapten Mohamad Affendi bin Bustamy TUDM, juruterbang TUDM yang terkorban di dalam insiden kemalangan pesawat Hawk yang berlaku di Pangkalan Udara Butterworth pada 16 November 21 lalu.
Dalam sesi lawatan yang berlangsung di Taman Redan Perdana, Muadzam Shah Pahang pada Khamis lepas, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham telah bertemu dengan balu Allahyarham, Puan Nurul ‘Izati binti Shari serta kedua ibu bapa Allahyarham, Encik Bustamy bin Tuahara dan Puan Siti Razilah Daud bagi menzahirkan rasa simpati beliau di atas insiden yang telah berlaku. Beliau turut menyampaikan salam takziah dari YB Menteri Kanan Pertahanan dan pucuk pimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan.
Semasa lawatan itu juga, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham telah menyampaikan sumbangan peribadi ikhlas daripada YB Menteri Kanan Pertahanan dan sumbangan peribadi daripada beliau sendiri kepada balu dan keluarga Allahyarham. Selain itu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), Mejar Jeneral Dato’ Dzulkarnain bin Ahmad turut menyampaikan sumbangan dari Yayasan Veteran ATM kepada balu Allahyarham.
Di akhir lawatan, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham dan delegasi juga telah meluangkan masa bersama-sama keluarga Allahyarham untuk menyempurnakan Majlis Bacaan Yaasin dan Tahlil untuk Allahyarham. Lawatan ini adalah sebagai tanda keprihatinan Kementerian Pertahanan terhadap insiden kemalangan yang telah menimpa Allahyarham Kapten Mohamad Affendi bin Bustamy TUDM. Kebajikan keluarga anggota ATM sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan dan akan memastikan keluarga Allahyarham diberikan bantuan dengan sewajarnya. Turut hadir bersama delegasi lawatan adalah Asisten Ketua Staf Tadbir Markas Tentera Udara, Brigedier Jeneral Hj Mohd Suhaimi bin Hj Sahri TUDM.
“WAWASAN KEMAKMURAN BERSAMA 2030”
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
“PERTAHANAN NEGARA TANGGUNGJAWAB BERSAMA”