Siakap Keli

Hamil Anak Pertama, Park Shin Hye Umum Bakal Berkahwin Dengan ‘Oppa’ Choi Tae Joon Tak Lama Lagi

Pasangan pelakon popular Korea Selatan, Park Shin Hye dan Choi Tae Joon dilaporkan bakal berkahwin tidak lama lagi.

Memetik laporan Koreaboo, agensi Park Shin Hye, SALT Entertainment memaklumkan bahawa pasangan itu akan berkahwin pada 22 Januari 2022. Menjalinkan hubungan sejak tahun 2017, aktres jelita itu dikatakan sedang hamil dan bakal menimang cahaya mata pertama.

“Hello, ini SALT Entertainment. Kami ingin menyampaikan berita mengenai Park Shin Hye dan Choi Tae Joon yang telah memutuskan untuk berkahwin tidak lama lagi.

“Pasangan itu yang telah bercinta sejak tahun 2017 akan berkahwin pada 22 Januari 2022 di Seoul,” kata SALT Entertainment.

Tambah agensi itu lagi, maklumat terperinci mengenai perkahwinan mereka tidak akan didedahkan bagi menghormati keluarga kedua-dua belah pihak.

“Kami menghargai semua yang telah memberikan sokongan dan menyayangi kedua-dua pelakon itu, Park Shin Hye akan terus menunjukkan imej yang baik kepada anda semua,” ujar agensi itu.

Dalam pada itu, Park Shin Hye juga telah berkongsikan berita gembira tersebut di dalam portal peminatnya dan mengucapkan terima kasih di atas sokongan mereka selama ini.

“Saya bakal berkahwin dengan rakan yang saya kenal sejak sekian lama dan kami akan memulakan hidup baharu sebagai pasangan suami isteri.

“Masih terlalu awal untuk berkata dengan lebih lanjut tetapi saya merasakan bahawa kehidupan saya menjadi lebih bermakna ketika dalam proses persiapan perkahwinan. Walaupun selepas mempunyai keluarga, saya berjanji akan menunjukkan imej yang baik kepada anda semua,” katanya.

Media mula melaporkan mengenai hubungan Park Shin Hye dan Choi Tae Joon pada tahun 2018.

Sumber: Koreaboo

Sofea

There's always another side to every story