Siakap Keli
Kredit: BERNAMA

JPJ Mula Jalankan ‘Roadblock’ Bermula Esok Di Seluruh Negara, Pantau Kenderaan Gagal Miliki Insurans

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberitahu bahawa pihaknya akan mula melaksanakan Ops Sedar di seluruh negara bermula esok. Tindakan tersebut dilakukan bertujuan untuk memantau pemilik kenderaan yang gagal memiliki perlindungan insurans kenderaan motor.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, tindakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui sekatan jalan raya (SJR) akan dibuat di beberapa lokasi terpilih.

“Pengguna jalan raya yang tidak memiliki perlindungan insurans akan menimbulkan kesulitan kepada pemilik kenderaan itu sendiri sekiranya berlaku sebarang bentuk kemalangan semasa menggunakan kenderaan masing-masing di jalan raya,” kata Datuk Zailani dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, sekiranya pengguna jalan raya yang tidak memiliki perlindungan insurans kenderaan motor ditahan di SJR, mereka akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 90(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987  dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 serta lesen boleh digantung selama 12 bulan.

Zailani juga memberitahu semasa pelaksanaan Ops Sedar bahawa pihaknya telah menyediakan kemudahan Mobile JPJ bagi tujuan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LLM) secara terus.

Sumber: Astro Awani

Akhmar Ikmal