Siakap Keli
Gambar via Daily Mail

Korea Selatan Bakal Bina Kota Terapung Pertama Di Dunia, Dijangka Mampu Bertahan Dari Tsunami

Mesti ramai daripada kita yang pernah dengar atau mungkin pernah berkunjung ke pasar terapung, baik di Malaysia atau negara-negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja.

Tapi lain pula dengan negara Korea Selatan ni. Kalau negara-negara Asia yang lain ada pasar terapung, di Korea Selatan pula akan dibina kota terapung. Kota terapung berkonsepkan urban ini dijangka bakal dibangunkan di wilayah Busan pada tahun 2025.

Menurut Daily Mail, kota terapung pertama di dunia ini dianggarkan menelan belanja sebanyak RM800 juta dan mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Kota unik tersebut dilaporkan bakal menjadi sebuah ‘infrastruktur kalis banjir’, tsunami dan taufan kategori kelima kerana setiap platform kota ini dipasak pada dasar laut.

Kota berkenaan dikatakan bersifat mandiri, di mana tenaga elektrik dihasilkan dari panel solar yang ditempatkan di atas bangunan. Malah makanan dan sumber air bersih juga boleh didapatkan secara terus di kota ini. Dari segi pengangkutan, penduduk di kota terapung Busan boleh bergerak antara satu pulau ke satu pulau yang lain menggunakan bot moden berbentuk pod.

Menurut Oceanix, syarikat yang mereka bentuk kota terapung Busan ini, kota tersebut akan dilengkapi kawasan umum, pasar, serta pusat kesihatan, pendidikan, keagamaan, sukan dan budaya. Kota terapung ini dikatakan bakal dibina berasaskan batu kapur yang ketahanannya dua hingga tiga kali lebih kuat daripada konkrit.

Memetik laporan Daily Mail, setakat ini masih belum dapat dipastikan sama ada penduduk akan dikenakan bayaran untuk tinggal di kota futuristik ini atau berapa kos sewa di sana. Namun ‘perkampungan’ terbesar di kota terapung Busan ini diperkirakan mampu menampung lebih dari 10 ribu penempatan.

Sumber: Daily Mail

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.