Perkahwinan merupakan salah satu satu peristiwa paling bermakna bagi setiap pasangan. Maka tak hairanlah jika pasangan pengantin rata-rata mengadakan majlis gilang-gemilang untuk menyambut hari bahagia ini.
Selalunya pasangan pengantin baru akan menjemput sanak-saudara dan rakan-rakan untuk sama-sama meraikan hari bahagia mereka dalam sebuah majlis. Biasanya majlis resepsi ni diadakan di dewan atau setidaknya di rumah keluarga.
Tapi lain pula dengan pasangan dari Filipina ini. Sementara pasangan lain adakan majlis gah ala-ala wedding of the year, merpati dua sejoli ini pula lebih memilih majlis resepsi simple yang hanya diadakan di restoran makanan segera di kota mereka.

Menurut laporan Sugbo, pasangan itu sepatutnya pulang ke kampung halaman mereka di Mindanao untuk melangsungkan perkahwinan tahun lalu. Pun begitu, ekoran pandemik COVID-19, mereka ‘terkandas’ di kota Lapu-lapu yang terletak kira-kira 80 kilometer dari tempat asal mereka dan sebulat suara ingin melangsungkan perkahwinan di sana.
Majlis resepsi pasangan Rian dan Rhaqueza ini hanya dihadiri jiran tetangga dan sahabat terdekat setelah acara pernikahan mereka diadakan di salah sebuah gereja di kota yang sama. Malah majlis kecil-kecilan mereka di restoran fast-food tersebut tidak dapat dihadiri ahli keluarga kedua belah pihak atas faktor kewangan dan pandemik.

Kata Rian dan Rhaqueza memetik laporan World of Buzz, mereka tiada bajet yang cukup untuk mengadakan majlis resepsi besar-besaran seperti pasangan pengantin pada umumnya. Jadi mereka membuat keputusan menganjurkan majlis yang simple, namun pada masa sama semua orang berasa seronok dan dapat menikmati makanan yang enak.
Foto-foto majlis resepsi pasangan itu sempat dimuatnaik di media sosial oleh jurugambar mereka, Babse Dondon dan mendapat sorotan warga net. Menurut Babse, menghadiri majlis resepsi di restoran fast-food seperti ini adalah yang pertama kali dia alami sepanjang enam tahun kariernya sebagai jurugambar.
Sumber: World of Buzz