Siakap Keli
Gambar : The Daily Meal

Pejabat Mufti WP Perjelas Hukum Majikan Ambil Tip Yang Diberikan Kepada Pekerja

Pemberian tip merupakan amalan sosial masyarakat, di mana ianya dilakukan secara sukarela mengikut atas budi bicara pelanggan. Kebiasaannya, pemberian tip ini diberikan kepada pekerja restoran sebagai habuan kerana memberikan servis layanan yang terbaik dan memuaskan terhadap pelanggan.

Umum mengetahui bahawa tip yang diberikan adalah milik pekerja tersebut. Namun, ada juga dalam kalangan majikan mengambil tip yang diberikan kepada pekerja mereka kerana menganggap bahawa tip tersebut hak milik syarikat. Jadi, apakah perilaku tersebut salah dan hukum seorang majikan yang mengambil tip yang diberikan kepada pekerjanya?

Lanjutan daripada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada berkongsikan mengenai perkara tersebut untuk pengetahuan orang ramai Mari ikuti perkongsian di bawah untuk mengetahui jawapannya:

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada bekerja di sebuah restoran sebagai pelayan. Kadang-kadang ada pelanggan yang memberikan wang kepada saya sebagai tip atas layanan yang diberikan. Apa yang saya faham tip itu menjadi milik saya. Tetapi majikan saya mengambil tip tersebut dan mencampurkannya dalam akaun syarikat. Soalan saya, adakah boleh seorang majikan mengambil tip yang telah diberikan oleh pelanggan kepada pekerja?

Jawapan Ringkas

Haram untuk majikan mengambil tip yang telah pelanggan berikan kepada pekerja. Ini adalah kerana tip yang diberikan tersebut merupakan pemberian atau hadiah daripada pelanggan atas layanan baik pekerja tersebut. Tip yang diberikan pelanggan adalah milik pekerja tersebut. Justeru, mengambil tip yang diberikan tanpa kerelaannya adalah satu kezaliman. Namun begitu, sekiranya pekerja memberikan tip yang diperolehinya kepada majikan secara sukarela maka ianya tidak menjadi salah untuk majikan mengambilnya.

Huraian Jawapan

Hubungan antara dua pihak tersebut adalah atas dasar majikan dan pekerja, bukannya hubungan antara tuan dan hamba yang membolehkan tuannya memiliki semua harta hamba. Seorang pekerja mesti melakukan kerjanya dan majikan perlu membayar gaji atas kerja yang dilakukan. Seorang majikan tidak berhak untuk mengambil tip yang diberikan kepada pekerja. Ini adalah kerana pemberian tip daripada pelanggan dianggap sebagai hadiah yang dimiliki sepenuhnya oleh pekerja.

Sehubungan dengan itu, mengambil harta orang lain dengan cara yang salah adalah satu perbuatan yang dilarang dan diharamkan syarak. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah

Surah al-Baqarah (188)

Ulama tafsir ketika menerangkan ayat di atas menyatakan bahawa mengambil dengan cara yang batil adalah dianggap sebagai perbuatan menzalimi orang lain kerana telah mengambil harta orang lain tanpa kebenarannya. Imam al-Mawardi pula menyatakan bahawa cara yang batil tersebut boleh berlaku dalam bentuk merampas, menzalimi, menang hasil daripada perjudian. (Rujuk Tafsir al-Tabari 552/3[1]Tafsir al-Mawardi 248/1[2]Tafsir al-Baghawi 210/1[3])

Selain itu, terdapat juga sebuah hadis Qudsi yang mana Allah SWT melarang manusia untuk saling menzalimi antara manusia. Allah SWT berfirman:

يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا، ‌فَلَا ‌تَظَالَمُوا

Maksudnya: Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku menjadikannya haram di antara kalian, maka janganlah kalian menzalimi.

Riwayat Muslim (2577)

Selain itu, Rasulullah SAW juga melarang untuk seorang muslim mengambil harta orang lain kecuali setelah mendapat keizinan daripada. Ini bermakna sekiranya pekerja memberikan tip yang diperolehinya kepada majikan secara sukarela maka ianya tidak menjadi salah. Rasulullah SAW bersabda:

‌لَا ‌يَحِلُّ ‌مَالُ ‌امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسِهِ

Maksudnya: Tidak halal untuk mengambil harta seorang muslim kecuali dengan kerelaan daripadanya.

Riwayat Daruqutni (2885)

Kesimpulan

Haram untuk majikan mengambil tip yang telah pelanggan berikan kepada pekerja. Ini adalah kerana tip yang diberikan tersebut merupakan pemberian atau hadiah daripada pelanggan atas layanan baik pekerja tersebut. Tip yang diberikan pelanggan adalah milik pekerja tersebut. Justeru, mengambil tip yang diberikan tanpa kerelaannya adalah satu kezaliman. Namun begitu, sekiranya pekerja memberikan tip yang diperolehinya kepada majikan secara sukarela maka ianya tidak menjadi salah untuk majikan mengambilnya.

Wallahualam

Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Fathin Nadzira

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.