Seramai 152 orang pelajar dari Sekolah Sains Tuanku Aishah Rohani telah mengalami gejala keracunan makanan sejak semalam. Susulan kejadian itu, tempat penyediaan makanan di dapur asrama sekolah tersebut telah diarahkan tutup.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S. Veerapan, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD ) Seremban telah menerima laporan mengenai satu kejadian keracunan makanan (KRM) semalam melibatkan pelajar sekolah tersebut.
Tambahnya lagi, menurut siasatan yang telah dibuat oleh PKD Seremban mendapati seramai 152 orang pelajar yang mengalami gejala KRM daripada 597 orang yang terdedah iaitu dengan kadar serangan 25.5 peratus.
“Daripada jumlah tersebut, para pelajar yang terlibat telah mengalami gejala utama iaitu sakit perut (152 orang pelajar), loya (148 orang pelajar), sakit kepala (134 orang pelajar), muntah (119 orang pelajar) orang, cirit-birit (94 orang pelajar), demam (32 orang pelajar) dan kejang abdomen (30 orang pelajar). Kesemua kes dirawat sebagai pesakit luar dan berada dalam keadaan stabil. Tindakan kawalan wabak telah diambil pada hari yang sama. Pemeriksaan premis dan aktiviti persampelan juga telah dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain itu, Veerapan juga memberitahu bahawa sampel klinikal dari kes-kes tersebut, sampel makanan dan sampel persekitaran telah diambil dan dihantar ke makmal untuk di analisa. Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mencari punca utama berlakunya kejadian tersebut.
“Tindakan penutupan tempat penyediaan makanan telah dibuat di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengelakkan berlakunya pertambahan kes baru dari punca premis yang sama,” katanya.
Tambah Veerapan lagi, pendidikan kesihatan telah diberikan kepada semua pelajar terlibat, pengusaha dan semua pengendali makanan di dapur asrama tersebut.
“Wabak adalah dalam keadaan terkawal. Siasatan dan pemantauan wabak akan dilakukan sehingga wabak tamat,” tambahnya lagi.
Sumber: Utusan Malaysia