Siakap Keli

Pegawai TUDM Meninggal Dunia Di Washington

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) — Seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kol Hasnol Hisham Abu Hassan meninggal dunia di Hospital St Joseph Medical Center Tacoma, Seattle, Washington, Amerika Syarikat pada Sabtu lepas (Malaysia, 21 Nov).

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan malam ini memaklumkan Allahyarham Hasnol Hisham, 50, meninggal dunia pada 10.58 malam waktu Seattle, Washington (2.58 petang Ahad waktu Malaysia) selepas tidak sedarkan diri ketika menghadiri Program ‘Airman to Airman Talks (A2ATs)’ di Camp Murray Seattle, Washington yang bermula pada 14 hingga 19 Nov.

“Pada 16 Nov, Allahyarham tiba-tiba tidak sedarkan diri dan telah dikejarkan ke Hospital St Joseph Medical Center Tacoma, Seattle, Washington bagi menerima rawatan dan menjalani pembedahan segera akibat acute type of aortic dissection.

“Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di hospital berkenaan dan isteri Allahyarham, Rohani Tahir turut berada di sisinya ketika saat akhir beliau,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, jenazah Allahyarham Hasnol Hisham yang merupakan Pengarah Latih di Markas Tentera Udara-Bahagian Sumber Manusia (Latih) akan dikebumikan dengan istiadat pengebumian tradisi ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Covington, Washington pada 24 Nov, 6.30 pagi waktu Malaysia.

Pengurusan jenazah Allahyarham akan dilaksanakan House of Mercy dan warga muslim Malaysia yang diketuai Kapt Ayub S. Laari, yang turut mengimamkan solat jenazah.

“Bagi urusan pengebumian, pihak Washington Air National Guard melalui Brigedier Jen Gent Welsh telah menawarkan penghormatan untuk memberikan Istiadat Pengebumian Tradisi Ketenteraan kepada Allahyarham dan mengkoordinasi urusan pengebumian dengan dipantau oleh pegawai TUDM.

“Penasihat Pertahanan Malaysia di Amerika Syarikat Brigedier Jen Mohd Fadzil Mohd Diah telah mengkoordinasi dan berbincang dengan pihak Washington Air National Guard agar urusan pengebumian dilaksanakan mengikut tatacara yang sesuai dan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad dan seluruh warga TUDM merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan pengebumian jenazah Allahyarham Hasnol Hisham.

— BERNAMA

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)