Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Sarawak Mengundi Pada 18 Dis, Penamaan Calon 6 Dis

KUCHING, 24 Nov (Bernama) — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Dis sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini turut mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan ditetapkan pada 6 Dis manakala pengundian awal pada 14 Dis.

Pengumuman itu dibuat beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu di sini hari ini.

SPR tidak dapat mengadakan PRN Sarawak selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 6 Jun lepas berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara ketika itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 11 Jan sehingga 1 Ogos, bagi mengekang penularan COVID-19.

Apabila darurat di seluruh negara berakhir pada 1 Ogos, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Feb 2022. Darurat ini ditarik balik pada 3 Nov, sekali gus membolehkan SPR mengadakan pilihan raya Sarawak.

Susulan penamatan darurat itu, DUN Sarawak turut terbubar pada 3 Nov, memberi laluan kepada PRN ke-12 di Sarawak yang mempunyai 82 kerusi DUN.

Sementara itu, Abdul Ghani menerusi satu kenyataan yang diedarkan semasa majlis pengumuman itu memaklumkan 1,252,014 orang pengundi di Sarawak layak mengundi dalam PRN ini dan mereka terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan; 10,458 anggota polis serta pasangan dan 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Beliau berkata seramai 46,565 orang petugas SPR akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN itu.

Sebanyak 1,866 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,555 tempat mengundi/saluran dan 85 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 111 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 buah dengan 3,666 tempat mengundi/saluran. PRU DUN Sarawak Ke-12 ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM150 juta,” katanya.

Abdul Ghani berkata bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen selama 12 hari sehingga 11.59 malam 17 Dis, SPR menubuhkan 155 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

“Pasukan PP-KPR ini akan dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 346 buah pusat mengundi biasa pada hari mengundi akan dibuka dari 7.30 pagi hingga 5.00 petang dan baki 1,520 pusat mengundi dibuka mengikut waktu yang diwartakan.

Bagi pusat mengundi awal pula, beliau berkata 11 buah pusat mengundi akan dibuka dari 8 pagi hingga 12 tengah hari, 20 buah pusat mengundi dari 8 pagi hingga 2 petang dan baki 54 buah pusat mengundi awal akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Selain itu, sebanyak 82 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan 82 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan pada PRN kali ini,” katanya.

Beliau berkata SPR turut menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi dalam PRN kali ini.

“Pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal SPR pengundi.spr.gov.my atau menelefon ke talian 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

“Semakan boleh dibuat mulai 1 Dis 2021,” katanya.

Permohonan untuk mengundi secara pos pula boleh dilakukan melalui MySPR Daftar di pautan https://mysprdaftar.spr.gov.my.

Pemohon dinasihatkan agar memohon lebih awal apabila tarikh permohonan dibuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang isu atau kesulitan.

Sumber: Bernama

" "