Siakap Keli
Gambar: Bernama

Talun, Manis Seramik ‘Buah Tangan’ Tradisional Unik Dari Lawas

LAWAS (Sarawak), 24 Nov (Bernama) — Jika berkunjung ke Lawas amat merugikan jika pulang dengan tangan kosong tanpa membawa balik buah tangan unik Baju Talun dan manik seramik yang dihasilkan secara tradisional oleh masyarakat Lun Bawang.

Baju Talun yang berbentuk seperti jaket diperbuat daripada kulit kayu pokok liar tempatan iaitu pokok Talun (Artocarpus hirsuta) dahulunya menjadi pakaian harian bagi golongan lelaki Lun Bawang, namun busana itu kini menjadi antara produk kraftangan popular malah ia pakaian wajib digayakan di setiap acara keraian di Sarawak.

Busana unik itu mempunyi nilai tinggi dalam kalangan peminat busana tradisional ditambah proses penghasilannya yang halus dan masih menggunakan kaedah tradisional untuk menjaga keaslian khazanah turun temurun itu.

Baru-baru ini Bernama berkesempatan berkunjung ke Pusat Kraftangan Kampung Tang Itong, Lawas untuk melihat sendiri proses pembuatan dan penghasilan produk daripada kulit kayu Talun yang menjadi antara produk kraftangan popular di daerah itu.

Menurut Ketua Kampung Tang Itong, Su’ut Kurus, 84, sehelai baju Talun bernilai RM150 hingga RM300 bergantung kepada reka bentuk corak termasuk penggunaan manik, malah ada baju yang pernah dijual pada harga mencecah RM500.

“Kita buat baju Talun secara tradisional. Kita ke hutan cari pokok, kulitnya kita kopek guna tangan dan peralatan tangan, direndam dalam air dan menggunakan mesin giling getah untuk meregangkan kulit kayu itu. Selepas itu, kita jemur kulit Talun itu di bawah matahari. Walaupun ada ketuhar komersial boleh digunakan untuk mengeringkan kulit kayu itu, namun kualitinya tidak sama dengan secara semula jadi,” katanya kepada Bernama.

Katanya, pakaian itu wajib dipakai ketika sambutan Irau Aco Lun Bawang atau festival Lun Bawang pada 1 Jun setiap tahun.

Su’ut antara penduduk tempatan yang masih aktif menghasilkan busana itu berkata selepas kulit Talun dikeringkan, ia dipotong mengikut saiz pemakai dan dijahit bersama fabrik berwarna merah sebagai lapisan dalaman busana itu.

“Kalau yang asli, baju Talun ini tidak punyai corak, tapi untuk menambah nilai seni dan komersialnya, kita menambah corak dengan motif bunga atau disulam dengan manik mengikut permintaan,” katanya, menambah proses membuat sehelai baju Talun boleh mengambil masa antara empat hari hingga seminggu bergantung kepada reka bentuk serta corak.

Selain produk baju, hasil hutan itu turut digunakan untuk aksesori fesyen lain seperti topi, beg dan pelbagai lagi, malah turut dijadikan sebagai kanvas lukisan yang sering mendapat permintaan dalam kalangan pengusaha hotel tempatan.

Sementara itu, terletak kira-kira tujuh kilometer dari situ, terdapat Pusat Kraftangan Manik Seramik di Kampung Long Tuma yang menjadi antara lokasi kunjungan pelancong tempatan dan asing untuk mendapatkan produk manik seramik.

Menurut koordinator pusat itu, Patricia Busang, 48, produk manik seramik di situ tertumpu kepada aksesori barang kemas seperti rantai, gelang dan anting-anting yang bukan sahaja mendapat permintaan tinggi pasaran tempatan malah turut menjadi pilihan dalam pasaran antarabangsa termasuk di China dan Eropah.

Katanya, manik seramik berwarna warni dengan pelbagai saiz serta bentuk menjadi buah tangan popular buat pelancong yang berkunjung ke pusat kraftangan itu, selain pengunjung turut berpeluang untuk membuat sendiri manik seramik itu.

“Industri kecil ini sememangnya membantu suri rumah di sini meraih pendapatan tambahan yang rata-ratanya juga adalah kumpulan petani. Produk ini juga sentiasa menjadi pilihan kerajaan negeri dan agensi pelancongan untuk dijadikan bahan pameran pada festival kraftangan atau pelancongan dalam negara mahupun di luar negara,” katanya.

Patricia berkata produk itu dihasilkan kira-kira 10 suri rumah yang mempunyai peranan berbeza seperti membentuk manik dan melukis atau mewarnakan manik termasuk mengikut reka bentuk berdasarkan pemintaan pelanggan.

Menurut dua wakil industri kraftangan itu, kerajaan negeri menerusi beberapa agensinya banyak menyalurkan bantuan termasuk geran kewangan, menaik taraf kemudahan dan infrastuktur selain promosi dan pemasaran produk sekali gus memacu pendapatan mereka.

Jelas mereka, walaupun penularan COVID-19 sedikit sebanyak memberi kesan pada industri itu namun dengan platform digital, membolehkan produk dapat ditempah dan dibeli pelanggan secara dalam talian.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.