Sebuah kemalangan berlaku di Indiana, Amerika Syarikat apabila sebuah kereta dipercayai telah melanggar lampu isyarat merah, lapor India Times.
Kemalangan tersebut berlaku pada 17 Oktober lalu dan telah membabitkan enam buah kenderaan di lampu isyarat di sebuah jalan raya.
Satu rakaman video yang dirakam melalui ‘dashcam‘ kereta seorang pengguna menunjukkan sebuah kereta telah dirempuh kereta yang datang dari arah bertentangan dan meluncur ke udara sebelum mendarat di atas bumbung kereta yang lalu-lalang.
Pengguna yang merupakan pemilik dashcam itu, bersama-sama isterinya telah melihat kejadian yang berlaku semasa kenderaan mereka sedang berhenti di lampu isyarat tersebut.
Memetik daripada penerangan video di Youtube, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari apabila sebuah kereta yang memandu dari arah Timur dipercayai telah melanggar satu lampu isyarat merah.
“Kereta tersebut datang dari arah hadapan dan tidak nampak lampu isyarat itu.”
“Ia telah mendarat pada bumbung kereta di sebelah saya dan juga telah merempuh satu lagi kereta SUV yang sedang tunggu di lampu isyarat,” tambahnya lagi.
Menurut pengguna tersebut, sebanyak enam kereta rosak dan kesemua pemandu tidak mengalami apa-apa kecelakaan.
Dalam video itu juga, terdapat seorang pejalan kaki yang sedang melintas ketika kejadian itu berlaku. Pejalan kaki itu dipercayai sempat melarikan diri semasa kereta itu ‘terbang’ ke arah tempatnya melintas.
Sehingga kini, video yang dikongsikan tersebut telah meraih perhatian warga net sehingga mencecah tontonan sebanyak 65, 000.
Sumber : India Times