Siakap Keli
Gambar : Youtube dapur mommy adam

(Video) Lebih 1.3k Perkongsian, Wanita Kongsi Resipi Mudah ‘Cheesy Chicken Pocket’ Sebagai Kudapan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Sebut sahaja tentang makanan, pastinya semua tidak akan menolak. Lebih-lebih lagi sekarang ini musim hujan, dapat makan kudapan yang panas-panas lagilah bertambah selera.

Pada perkongsian resepi kali ini, seorang warga group Masak Apa Hari In (MAHN), Noor Hasliana Hashim ada berkongsikan satu resepi cepat dan ringkas, iaitu cheesy chicken pocket yang mampu buat orang kecur air liur dan boleh dihidangkan sebagai menu makan petang.

Kerangupan kulit bersama keju yang ditarik pasti dapat menambat hati sesiapa sahaja yang melihatnya, terutamanya penggemar ‘cheese’ tarik. Oleh itu, mari ikuti perkongsian resepi daripada Noor Hasliana ini.

Bahan-bahannya :

  • Setengah biji bawang holland yang dipotong dadu
  • 2 biji bawang putih yang dicincang halus
  • Setengah biji capsicum atau lobak merah
  • 2 isi dada ayam, dicincang halus
  • 1 sudu kecil serbuk cili
  • Setengah sudu kecil serbuk lada hitam
  • Setengah sudu kecil cili kisar kasar
  • Setengah sudu kecil serbuk jintan manis
  • Setengah sudu kecil garam
  • Setengah sudu kecil gula
  • 1 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sos tomato
  • 2 sudu besar mayonaise
  • Keju mozarella
  • Roti putih

Cara memasak:

  1. Tumiskan bawang holland dan putih dengan sedikit minyak sehingga keperangan.
  2. Masukkan capsicum. Masak sehingga agak layu.
  3. Masukkan isi ayam. Tumis sehingga masak.
  4. Masukkan campuran serbuk dan kacau rata.
  5. Kemudian, masukkan sos cili dan sos tomato. Kacau rata.
  6. Perasakan inti ayam dengan garam dan gula dan kacau sehingga sebati.
  7. Tutup api dan masukkan mayonaise. Kacau sehingga sebati.
  8. Potong bahagian tepi roti dan lenyekkan roti.
  9. Masukkan inti ayam dan keju.
  10. Letakkan air sekeliling roti untuk dijadikan sebagai ‘gam’. Lipat 2 roti dan lekatkan bucu roti.
  11. Salutkan roti dengan telur dan serbuk roti.
  12. Goreng dalam minyak yang banyak sehingga masak dan keperangan.
  13. Sedia untuk dihidangkan
SELAMAT MENCUBA

Perkongsian resipi ini di Facebook telah mendapat sambutan ramai dengan lebih 1.3k perkongsian. Apa kata korang cuba buat guna resipi yang dikongsikan di atas.

Sumber : Noor Hasliana Hashim Via Masak Apa Hari Ni.. (MAHN)

Fathin Nadzira