Warga penduduk di sekitar Jakarta, Indonesia gempar dengan keadaan langit yang agak janggal dilihat pada petang tadi, lapor laman berita Detik hari ini.
Foto yang sempat dirakam seorang penduduk, Lailani itu menunjukkan pemandangan unik segumpal awan di langit yang menutupi cahaya matahari.
Difahamkan, pemandangan tersebut dirakam dari pejabatnya di Plaza Mutiara, Mega Kuningan di Jakarta Selatan kira-kira pukul 2.52 petang tadi (waktu tempatan).

Kata Lailani, fenomena awam menutupi cahaya di langit itu berlaku selama lima hingga 1o minit, malah cuaca terik ketika itu terus disusuli dengan keadaan gelap diikuti hujan.
“Cuaca awalnya sangat panas terik, tiba-tiba jadi gelap. Lepas lihat ke atas ada pelangi macam dalam gambar ni, tapi seram. Gambar tu diambil tanpa effect.
“Setelah fenomena tu berlangsung, langit gelap sangat. Tak lama lepas tu hujan. Sebab kalau dilihat dari sini, di depan kita sudah gelap sangat,” katanya ketika ditemui pemberita.
Selain itu, pemandangan unik itu turut dirakam seorang lagi saksi, Gilang Ramadhan dari pejabatnya di Centennial Tower, Setiabudi dalam daerah yang sama.
Sama seperti Lailani, Gilang juga mengakui kejadian itu berlaku kira-kira 10 minit lamanya sebelum disusuli cuaca hujan.
Sumber: Detik News