Siakap Keli
Gambar: Bernama

Kit Ujian Kendiri COVID-19 Kini Serendah RM4.90

PUTRAJAYA, 25 Nov (Bernama) – Kit ujian kendiri COVID-19 kini boleh didapati pada harga serendah RM4.90 seunit. Penjualan kit ujian boleh didapatkan di kedai rangkaian serbaneka seperit 99 Speedmart.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerjasama peniaga amat dihargai bagi bersama-sama dalam membantu meringankan beban rakyat dalam mengawal dan menurunkan jumlah kes harian COVID-19 di negara ini.

“Saya berharap lebih banyak premis akan mengambil langkah yang sama dalam waktu terdekat”, katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.

Menurutnya lagi, pembukaan pelbagai sektor ekonomi, pekerjaan, sekolah mahupun institusi pengajian menjadikan kit ujian ini sebagai satu keperluan bagi setiap isi rumah.

“Semestinya saya mahu kit ini dapat dibeli dengan harga mampu milik agar semua rakyat dapat melakukan sendiri ujian secara kerap”, jelasnya lagi.

Sebelum ini, kerajaan telah menetapkan harga runcit maksimum bagi kit berkenaan pada harga RM19.90 seunit dan harga borong RM16 seunit.

KPDNHEP telah membenarkan sebanyak 7,302 premis di seluruh negara untuk menjual kit ujian kendiri COVID-19 yang mendapat kelulusan KKM dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA). Sebelum ini, kit ujian kendiri COVID-19 yang menerima kelulusan bersyarat daripaa MDA dijual di klinik dan farmasi terpilih sahaja.

Sumber: Bernama

 

Aireena Marizan