Siakap Keli
Gambar: Daily Star

Lelaki Cedera Lengan Dibaham, Gara-gara Masuk Kolam & Berselfie Dengan Buaya Disangka Cuma Patung Plastik

Seorang pelancong telah membidas sebuah taman tema kerana dilaporkan tidak mempamerkan papan tanda amaran selepas dia diserang seekor buaya yang disangkakan sebagai patung buaya plastik pada hari kelahirannya.

Lelaki yang berusia 68 tahun itu telah diterkam oleh haiwan pemangsa sepanjang 12 kaki itu selepas dia memanjat masuk kolam buaya untuk berswafoto dengan haiwan berkenaan di taman tema Amaya View yang terletak di Filipina.

Kerana menyangkakan bahawa buaya tersebut cuma patung hiasan, tindakan itu membawa padah apabila lengan kirinya dibaham oleh haiwan berkenaan.

Keluarganya terpaksa menyaksikan detik ngeri tersebut apabila reptilia merbahaya itu mengheretnya masuk ke dalam air.

Walau bagaimanapun, nasib lelaki tersebut agak baik kerana dia berjaya melepaskan diri daripada pemangsa itu.

Keluarga lelaki itu telah menyalahkan taman tema tersebut kerana dilaporkan tidak memberikan amaran kepada pengunjung bahawa terdapat buaya hidup di kawasan itu.

“Tiada pesanan yang memberi amaran kepada kami untuk tidak memasuki kandang itu. Kerana jika ada, sudah tentu kami tidak akan pergi ke sana,” kata anak perempuan kepada lelaki itu.

Pelancong itu lantas digegaskan ke Pusat Perubatan Mindanao Utara untuk dirawat selepas kakitangan taman tema itu membalut sapu tangan di lengan dan tangannya untuk menghentikan pendarahan.

Dilaporkan bahawa lelaki tersebut mengalami patah tulang serta memerlukan lapan jahitan di lengan dan paha kirinya susulan daripada kemalangan itu.

Taring bersaiz tiga inci juga telah tersangkut dalam dagingnya akibat daripada gigitan buaya yang ganas itu, lapor Daily Mail.

“Saya terdengar suara orang menjerit meminta tolong dan ternampak buaya itu sedang membaham lelaki tua tersebut. Saya fikir ia akan memutuskan lengannya.

“Saya mahu membantunya, tetapi saya takut dan tidak mempunyai ilmu tentang cara untuk menangani serangan buaya,” ujar seorang saksi kejadian.

Taman tema tersebut dilaporkan telah bersetuju untuk menanggung kos rawatan lelaki itu selepas dia terpaksa menjalani beberapa pembedahan bagi merawat tulangnya yang patah.

Sumber: Daily Star

Aqmal Ezany

I write what is right

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.