Siakap Keli

Lelaki Hilang Semalam Ditemukan Lemas

KEPALA BATAS, 25 Nov (Bernama) — Mayat seorang lelaki ditemukan orang ramai di kawasan perairan Pulau Sayak, Kedah, kira-kira 10km dari sini, pagi ini.

Lelaki dikenali Khairul Azmil Rahi, 37, itu dikatakan hilang selepas beliau terjun ke dalam laut ketika cuba melarikan diri semasa pihak polis menjalankan rondaan cegah jenayah dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Kompleks Pasar Bisik Ikan, Kota Kuala Muda di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Mohd Radzi Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu pada kira-kira pukul 9.30 pagi, sekitar 10 kilometer daripada kompleks berkenaan.

“Mayat dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian pukul 3 pagi semalam sepasukan polis yang sedang menjalankan rondaan hendak membuat pemeriksaan di kawasan Kompleks Pasar Bisik Ikan berkenaan selepas melihat ada sekumpulan lelaki berkumpul di situ.

Kumpulan lelaki itu bertempiaran lari apabila melihat kehadiran pihak polis dari Balai Polis Kepala Batas yang sedang membuat rondaan di situ dan ada antara mereka yang terjun ke dalam laut berhampiran kompleks berkenaan.

Sumber: BERNAMA

" "