Siakap Keli
Kredit: St. Peter's Free Church

‘Income’ Isi Rumah Terjejas & Bawah RM5,880? Ini Cara Kurangkan Ansuran Bulanan Pinjaman Rumah & Peribadi

Dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, orang ramai sudah mula beransur hidup dalam norma baharu.

Walaupun begitu, tidak dinafikan masih ada yang terpaksa bergelut dengan masalah kewangan termasuklah bebanan hutang. Tetapi tak usah khuatir kerana setiap masalah yang timbul, pasti akan ada jalan penyelesaiannya.

Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS)

Mungkin ramai lagi yang masih belum mengetahui mengenai program ini yang sebenarnya dapat membantu mereka yang terjejas dalam masalah kewangan.

URUS merupakan pakej bantuan holistik yang membantu peminjam yang memerlukan bantuan aliran tunai yang lebih panjang. Melalui program ini, anda akan ditawarkan bantuan bayaran balik pinjaman dan sokongan pembangunan ketahanan kewangan merangkumi pelbagai aspek.

Siapa yang layak?

Golongan yang layak mendapatkan bantuan di bawah URUS adalah peminjam dalam kumpulan B50 dan memenuhi semua kriteria berikut ketika tarikh permohonan.

  • Pendapatan isi rumah sehingga RM5,880
  • Kehilangan pekerjaan atau alami pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50%
  • Pinjaman telahpun  berada di bawah program bantuan bayaran balik sedia ada (seperti Bantuan Bayaran Balik Bersasar, PEMERKASA Plus, PEMULIH, penjadualan dan penstrukturan semula oleh bank dsb) pada 30 September 2021
  • Pinjaman tanpa tunggakan melebihi 90 hari dari tarikh permohonan URUS.

Antara pinjaman yang layak termasuklah pinjaman perumahan. Selain itu, pinjaman peribadi termasuklah ASB, pendidikan dan sebagainya. Bukan setakat itu sahaja, pinjaman kenderaan, sewa beli dan baki kad kredit/kemudahan kredit pusingan juga turut layak berada di bawah URUS.

Bila dah tahu apa syarat kelayakan, pasti hendak tahu apakah jenis bantuan yang ada kan?

Bantuan yang ditawarkan

Menerusi program ini, anda akan menerima pelan kewangan peribadi secara percuma yang menyatakan jumlah bayaran balik bulanan yang djadualkan sehingga 24 bulan.

Pelan tersebut merangkumi pengecualian faedah atau keuntungan untuk tempoh tiga bulan. Penangguhan bayaran serta pengurangan ansuran untuk membantu menguruskan hutang keseluruhan selaras dengan kemampuan anda.

Bukan setakat itu, anda juga ditawarkan sokongan pembangunan, pendidikan dan khidmat nasihat untuk membantu menguruskan kewangan agar lebih berdaya tahan.

Cara untuk memohon

Permohonan untuk menyertai URUS masih dibuka sehingga 31 Januari 2022.

Peminjam dalam kumpulan B50 hanya perlu menghubungi bank masing-masing melalui borang yang tersedia di dalam laman web, panggilan telefon ataupun terus ke cawangan bank anda yang berdekatan.

Bagi yang mempunyai pinjaman dengan lebih dari satu bank, anda boleh menghubungi satu bank sahaja yang memberi bantuan bayaran balik pinjaman dan menyenaraikan semua pinjaman anda. AKPK akan mengambil kira semua pinjaman dan membentuk pelan bantuan bayaran balik yang holistik dan wajar berdasarkan kemampuan anda.

Bagi membantu AKPK menghasilkan pelan yang menyeluruh berdasarkan pendapatan dan hutang anda, anda hanya perlu mengemukakan dokumen mudah yang menunjukkan pendapatan semasa atau status pekerjaan anda seperti penyata bank, borang cukai pendapatan, penyata KWSP, slip gaji/baucar bayaran, ataupun surat pemberhentian kerja.

Sebaik sahaja anda selesai melakukan proses permohonan, pihak bank akan terus memaklumkan anda dengan segera bahawa permohonan anda telah diterima. Sekiranya anda layak untuk URUS, AKPK akan menghubungi anda dalam masa 10 hari bekerja melalui emel.

Perlukan bantuan tapi tak layak mohon URUS?

Sekiranya anda tidak menepati syarat yang ditetapkan dan tidak layak untuk memohon URUS, tak usah risau kerana anda boleh mendapatkan bantuan lain daripada bank. Anda hanya perlu menghubungi pihak bank untuk membincangkan pilihan pakej pembayaran balik yang sesuai dengan kewangan anda mengikut keperluan dan situasi ketika itu.

Sebagai langkah alternatif, anda boleh menghubungi AKPK untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan di bawah pelbagai program AKPK. Antara program yang sememangnya tersedia buat isi rumah dan PKS adalah seperti:

  1. Program Pengurusan Kredit (PPK)
  2. Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK)
  3. Skim Sokongan Ketahanan Kewangan (FIRST)

Untuk maklumat lanjut mengenai URUS, anda boleh melayari laman sesawang AKPK, ABM, atau AIBIM.

Bagi yang mempunyai kesukaran atau masalah dengan bank berkaitan URUS, anda boleh membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) di sini. Pihak BNM akan membuat tindakan susulan dengan bank anda.











syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa