Siakap Keli
Gambar: Bernama

KKM Sahkan Kemunculan Varian Baharu COVID-19, B.1.1.529, Rakyat Tidak Dibenarkan Lawat 7 Negara Ini

Satu varian baharu COVID-19 telah ditemui baru-baru ini, iaitu B.1.1.529 yang mencatatkan kes jangkitan di tiga negara setakat ini, lapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KKM menerusi satu kenyataan memaklumkan, kes berkaitan varian baharu tersebut dikesan di Afrika Selatan sebanyak 77 kes, Botswana empat kes dan Hong Kong dua kes.

“Menurut laporan, varian baharu ini mempunyai 32 mutasi spike protein iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian delta.

“Sehingga kini belum ada maklumat lanjut bagi tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan bagi varian B.1.1.529 ini,” maklum kenyataan tersebut hari ini.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih membuat pemantauan yang rapi mengenai perkembangan berkaitan laporan varian baharu tersebut dan ia dikategorikan sebagai Variant Under Monitoring (VUM).

Dalam pada itu, survelan genomik yang dijalankan sehingga 26 November hari ini mendapati tiada virus COVID-19 varian baharu B.1.1.529 dilaporkan di negara ini.

Justeru, sebagai langkah berjaga-jaga, beberapa langkah pencegahan dan kawalan sempadan bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara dipertingkatkan KKM.

Langkah pencegahan yang dijalankan termasuklah pengembara warganegara Malaysia yang merancang melawat ke negara seperti Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe adalah tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan mereka.

Selain itu, sekatan sementara juga dijalankan kepada semua warganegara asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke negara-negara dalam senarai di atas.

Dalam masa sama, warganegara Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke negara ini dari negara-negara tersebut dibenarkan memasuki negara, namun dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi serta tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

Sumber: KKM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'