Siakap Keli
Gambar: Bernama

Seramai 1,817 Penggiat Industri Pelancongan Di Sabah Terima Bantuan Kewangan

KOTA KINABALU, 25 Nov (Bernama) — Seramai 1,817 penggiat industri pelancongan di Sabah menerima bantuan kewangan secara berperingkat tahun ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Beliau berkata RM61 juta diperuntukkan bagi bantuan itu yang telah diberikan secara berperingkat kepada pemandu pelancong, pengusahaan pelancongan, Program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H), pengusaha spa dan pusat urut kaki serta program pengalaman homestay Malaysia berdaftar dengan MOTAC.

“Melalui peruntukan yang diberikan ini, MOTAC akan meneruskan lagi usaha-usaha membantu pengusaha pelancongan yang terjejas teruk,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Zari berkata menerusi Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan RM1.6 Bilion kepada sektor pelancongan bagi membantu memulihkan semula industri pelancongan negara, dan peruntukan itu termasuk RM85 juta Bantuan Khas kepada lebih 20,000 pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah MOTAC.

Katanya ia merupakan pertambahan sebanyak RM24 juta daripada peruntukan bagi tahun 2021, yang bertujuan memastikan sektor pelancongan kembali rancak dan menjadi salah satu penyumbang utama kepada pendapatan negara.

Sumber: BERNAMA

" "