Siakap Keli
Gambar: @sekitarbandungcom

(Video) CCTV Rakam Peragut Gagal Meragut, Gagal Larikan Diri Hingga Ditangkap & Dipukul Orang Ramai

Satu video yang memaparkan rakaman insiden ragut di Kompleks Cicukang Indah Kopo, Kecamatan Margahayu, Bandung, Indonesia pada Rabu lalu tular di media sosial.

Dalam video yang tular itu, dapat dilihat bahawa kejadian tersebut bermula ketika mangsa yang merupakan seorang remaja perempuan sedang berjalan seorang diri sambil memegang telefon bimbit di tangan kanannya.

Peragut yang memakai jaket jeans berwarna biru, kemeja-T merah dan topi keledar berwarna merah jambu pula sedang menunggang motosikal.

Ketika mereka berdua berselisih, peragut tersebut dilihat memerhatikan telefon bimbit di tangan kanan mangsa. Selepas memandu kira-kira tiga meter melepasi mangsa, suspek telah memarkir dan turun dari motosikalnya.

Suspek kemudiannya telah bertindak mengejar dan merampas telefon bimbit mangsa. Ekoran daripada itu, mangsa yang tidak mahu kehilangan telefon bimbitnya telah mengejar suspek.

Ketika pergelutan itu berlaku, suspek telah bertindak agresif dengan menolak badan mangsa dengan kuat. Namun begitu, mangsa tetap berkeras sambil menjerit meminta tolong dari orang ramai yang berdekatan.

Jeritan tersebut berjaya menarik perhatian orang awam yang berada berhampiran.

Berikutan daripada itu, dua orang lelaki telah dilihat mengejar suspek. Salah seorang daripadanya sempat melemparkan batu dan dilaporkan terkena pada muka suspek. Lemparan batu itu telah membuatkan suspek terjatuh ke tanah.

Mendengar kekecohan itu, penduduk lain akhirnya keluar dari rumah dan menahan suspek. Oleh kerana marah dengan tindakan suspek, warga setempat dilaporkan sempat memukul suspek sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

Video yang dikongsikan oleh akaun Instagram bernama @sekitarbandungcom itu lantas menjadi tular di media sosial. Sehingga kini, ianya telah ditonton lebih 31 ribu kali.

 

 

 

Sumber: iNews.id

" "