Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Sarawak Negeri Terawal Terima Pelaksanaan 5G Tahun Hadapan – Annuar

MUKAH, 27 Nov (Bernama) — Sarawak merupakan negeri yang diberi tumpuan utama dalam Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), termasuk bakal menjadi antara negeri terawal diberi keutamaan dalam perancangan pelaksanaan rangkaian 5G mulai tahun hadapan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata ia antara lain disebabkan faktor kedudukan strategik Bumi Kenyalang itu dari aspek geopolitik dan kesalinghubungan.

“Dalam aspek geopoltik baru kita lihat bagaimana kedudukan Kepulauan Borneo menjadi satu kawasan strategik, Indonesia pun memindahkan ibu negara ke Borneo dan kerajaan juga berhasrat menjadikan Sarawak dan Sabah diberikan keutamaan tinggi dalam perancangan pembangunan.

“Dalam konteks ketersambungan kedudukan Sarawak sekali lagi menjadi negeri paling strategik sekali, termasuk akan datang dalam pembangunan berkaitan kabel laut. Satu daripada kabel sedang dirancang akan melalui kawasan Sarawak, dan Sarawak dikenal pasti sebagai satu ‘landing point’,” katanya.

Annuar yang sedang dalam Jelajah Komunikasi Strategik selama dua hari di Tanjung Manis dan Sarikei bermula hari ini berkata demikian, selepas menyerahkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia kepada hampir 20 penerima di sini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata Sarawak juga mempunyai penjanaan bekalan elektrik mesra alam, yang sangat diperlukan dalam pembuatan pusat data bagi kegiatan pengkomputeran awan dan sebagainya.

Sehubungan itu beliau berkata dalam usaha mengutamakan 5G, tumpuan persiapan ketika ini perlu juga terarah kepada melengkapkan rangkaian 4G menerusi pelaksanaan JENDELA fasa satu dan fasa dua, yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Fasa satu dan fasa dua kedua-duanya fokus utama untuk Sarawak, lebih RM3 bilion untuk Sarawak sahaja. Ini adalah satu agenda besar kerana Sarawak ini unik negeri besar dan taburan penduduk meluas, jadi kita mesti pastikan semua kawasan penempatan penduduk ini mesti lah tersambung.

“Jadi kalau dapat kita bekalkan talian tetap atau rangkaian optik gentian, kalau tidak ada kita guna satelit, teknologi satelit terkini juga akan dibawa ke Sarawak. ‘Fiberisation’ di bawah titik kehadiran (PoP) yang sedang kita jalankan fasa satu dan fasa dua, tak berapa lama lagi juga tumpuannya Sarawak,” katanya.

Annuar bagaimanapun berkata dengan pelbagai perancangan prasarana yang telah dibuat, kerajaan amat memerlukan penyertaan rakyat, antara lain menerusi penaiktarafan Pusat Internet Desa menjadi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi).

Jelasnya ia akan menjadi medan bagi rakyat mengubah kegiatan ekonomi mereka kepada ekonomi digital.

“Ini satu gerakan besar-besaran secara nasional yang kita mulakan dan harap dapat lihat satu kemajuan untuk Sarawak,” katanya.

Sumber: BERNAMA

" "