Siakap Keli
Gambar: Bernama

Syarikat Penerbangan Perlu Main Peranan Turunkan Harga Tiket – Pemuda GPS

KUCHING, 27 Nov (Bernama) — Syarikat penerbangan perlu memainkan peranan mereka dalam mengurangkan kenaikan harga tiket ke Sarawak, bagi membantu rakyat negeri itu pulang untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 selain untuk musim cuti bulan hadapan, kata Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Timbalan Ketua Pemuda Fazzrudin Abdul Rahman Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata selain daripada itu, adalah diharapkan peningkatan kekerapan penerbangan ke Sarawak seperti diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini, juga akan membawa kepada penurunan harga tiket.

“Ini juga akan memastikan jumlah pengundi yang maksimum akan keluar ketika pilihan raya negeri, yang pada masa sama membantu memudahkan kepulangan pengundi untuk melaksanakan tanggung jawab demokrasi mereka.

“Kami juga ingin menasihati ke semua rakyat Sarawak yang pulang dan juga pelancong datang ke Sarawak untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semakan Bernama di beberapa laman sesawang syarikat penerbangan yang mempunyai penerbangan laluan Kuala Lumpur (KUL)-Sarawak semalam menunjukkan, harga terendah bagi penerbangan sehala untuk laluan KUL-Kuching adalah RM1,299, KUL-Sibu (RM888) dan KUL-Miri (RM665).

Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak ditetapkan pada 6 Dis, pengundian awal pada 14 Dis dan pengundian pada 18 Dis.

Sementara itu Fazzrudin berkata, adalah amat penting untuk terus mematuhi SOP COVID-19 bagi memastikan keselamatan pada waktu ramai yang keluar masuk Sarawak, dan walaupun kadar kes yang semakin menurun, ia tidak seharusnya menyebabkan orang ramai mula tidak mematuhinya.

Sumber: BERNAMA

" "