Siakap Keli
Gambar Hiasan via BBC

Lepas Dua Kes Varian Omicron Dikesan, Britain Wajibkan Semula Pakai Pelitup Muka

Susulan kemunculan varian baharu COVID-19 yang dikenali sebagai Omicron, kerajaan Britain kini mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di negara tersebut setelah kelonggaran itu diberikan beberapa bulan lalu.

Menurut laporan BBC, kelonggaran berkenaan ditarik balik setelah dua kes positif varian baharu Omicron dikesan di wilayah Brentwood, Essex dan Nottingham. Kesemua individu tertular dikatakan mempunyai sejarah perjalanan ke selatan Afrika.

Britain kini telah menyekat kemasukan pengunjung dari 10 negara Afrika termasuk Afrika Selatan, Namibia, Zimbabwe, Botswana, Lesotho, Eswatini, Angola, Mozambique, Malawi dan Zambia. Bermula jam 4 pagi tadi (waktu tempatan), kerajaan Britain mengarahkan kesemua pelawat yang tiba dari negara tersebut untuk menjalani kuarantin di sebuah hotel selama 10 hari, termasuk individu yang telah lengkap vaksinasi.

Menurut Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, penelitian awal saintis Britain mendapati varian Omicron sangat mudah tertular. Malah individu yang telah lengkap vaksinasi juga berkemungkinan menjangkiti satu sama lain.

Varian baharu ini pertama kali direkodkan di Afrika Selatan Rabu lalu dan dipercayai lebih ganas kerana peratus risiko penularan yang lebih tinggi. Selain Britain, negara-negara lain seperti Australia, Hong Kong, Jerman, Itali, Republik Czech dan Israel turut mencatatkan kes pertama varian Omicron yang dikesan sejak beberapa hari lalu.

Sumber: BBC

Eyla Azri