Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Patutlah Setiap Kali Naik Kereta Rasa Letih & Mengantuk, Ini Sebabnya

Pernah tak anda rasa penat walau hanya duduk di dalam kereta. Bila dah sampai ke destinasi mesti anda akan rasa lenguh-lenguh badan dan tak sabar nak baring supaya dapat rehatkan diri.

Bukan itu sahaja, semasa perjalanan menuju ke tempat destinasi, kita kerap rasa mengantuk dan keletihan. Bukan setakat penumpang malah pemandu juga turut merasai perkara sedemikian.

Ingatkan perjalanan waktu siang mungkin tidak penat dan mengantuk, tetapi sebenarnya sama sahaja walau siang mahupun malam.

Sebenarnya ada sebab mengapa badan kita senang rasa letih dan mengantuk setiap kali naik kereta. Kalau nak tahu dengan lebih lanjut, Mental Floss ada berkongsikan sebab mengapa kita kerap letih dan mengantuk walau hanya naik kereta.

Menurut Sleep.org, perjalanan sepanjang di dalam kereta membuatkan individu mengantuk kerana “hipnosis jalan raya”. Istilah ini digunakan ke atas pemandu dan juga penumpang yang sudah mengetahui dan dapat agak tempoh perjalanan dan juga jalan yang akan digunakan.

Disebabkan pemandu dan penumpang sudah mengetahui tempoh masa dan jalan yang akan digunakan, perkara ini sedikit sebanyak menyebabkan mereka mudah rasa mengantuk. Lebih-lebih lagi buat pemandu, kerana mereka akan merasakan pemanduan itu tidak mencabar dan sangat mudah kerana sudah ingat jalan dan tempoh masa untuk melalui sesuatu jalan itu.

Selain itu, semasa perjalanan di atas jalan raya, individu juga boleh terbawa-bawa dengan “irama sirkadian”. Irama ini dikatakan boleh menjadikan seseorang individu mudah rasa mengantuk lebih-lebih lagi pada waktu awal pagi dan tengah hari. Misalnya perjalanan yang melibatkan tempoh masa di antara 8 pagi hingga 2 tengah hari.

Terdapat juga satu kajian yang dikatakan terhad. Kajian itu berkenaan keadaan fizikal kereta yang boleh mempengaruhi kewaspadaan seseorang individu lebih-lebih lagi pemandu. Khususnya cara bagaimana kereta itu memberi getaran terhadap individu yang berada di dalamnya. Getaran itu dikatakan boleh merehatkan otak dan juga badan.

Pusat Kawalan Penyakit (CDC) menganggarkan sehingga 6000 kemalangan maut yang berlaku dalam tempoh masa setahun adalah disebabkan pemandu mengantuk atau lalai. Fokus mental yang kurang terhadap pemanduan boleh menggalakkan lagi keletihan untuk berlaku.

Malah, Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Kebangsaan Amerika Syarikat pula menganggarkan lebih 100,000 kemalangan setahun yang melibatkan individu yang cuba untuk tahan diri daripada mengantuk semasa memandu.

Untuk kekal selamat, adalah lebih baik untuk pemandu rehat terlebih dahulu sekiranya mereka rasa mengantuk. Bukan itu sahaja, dengan menggunakan kafein sebagai salah satu minuman untuk hilangkan mengantuk semasa perjalanan.

“Helah” dengan memasang radio atau menurunkan tingkap untuk menghilangkan mengantuk tidak pernah ditunjukkan dapat memberi kesan yang sebenar ke atas pemanduan selamat.

Sekiranya anda seorang penumpang yang mudah mengantuk, risiko yang anda bakal hadapi sedikit sebanyak hanyalah sakit dan lenguh di bahagian leher.

Sumber: Mental Floss

Nadhirah