Siakap Keli
Gambar: Meczyki.Net

Wanita Didakwa Bunuh Rakannya Yang Sedang Hamil, Belah Perut Dan Curi Bayi Dari Rahim

Seorang wanita Brazil dijatuhi hukuman penjara 57 tahun selepas didapati bersalah kerana memukul rakannya yang sedang hamil sehingga mati, lapor NY Post.

Wanita itu dikatakan telah memukul rakannya yang hamil 36 minggu itu dengan menggunakan batu bata sebelum membelah perut dan bertindak mencuri bayi dalam kandungan wanita itu, memetik laporan New York Post.

Menurut laporan, tertuduh yang berusia 27 tahun itu telah mengajak mangsa ke salah sebuah kawasan tapak tembikar lama di bandar Canelinha pada 27 Ogos lalu.

Dia kemudiannya dilapor bertindak memukul mangsa beberapa kali di bahagian kepala dengan menggunakan batu bata sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tambah laporan itu, tertuduh kemudiannya menggeluarkan sebilah pisau untuk membelah perut mangsa lalu mengeluarkan bayi dalam kandungannya sebelum bertindak menyembunyikan mangsa wanita yang dikatakan meninggal akibat pendarahan yang banyak.

Tertuduh juga dikatakan telah pergi ke hospital bersama kekasihnya untuk memberitahu jururawat di situ bahawa dia baru sahaja melahirkan seorang bayi.

Walau bagaimanapun, pihak hospital merasakan bahawa laporan itu kelihatan begitu pelik dan mencurigakan. Pihak hospital kemudiannya membuat laporan polis.

Semasa perbicaraan yang dikatakan berlangsung selama 15 jam itu, tertuduh memberitahu pihak mahkamah bahawa dia telah merancang jenayah itu dan sudah membuat kajian mengenai cara-cara untuk mengeluarkan bayi yang belum lahir dari rahim.

Tertuduh juga memberitahu bahawa dia juga mengkaji cara-cara memalsukan simptom kehamilan dan cara melahirkan anak.

Kekasih tertuduh turut dianggap sebagai suspek, tetapi telah dibebaskan pada Julai lalu.

Tertuduh akhirnya disabitkan dengan jenayah pembunuhan sangat kejam, serta cubaan untuk membunuh bayi. Tertuduh juga disabitkan atas kesalahan menyembunyikan mayat, menghalang keadilan bayi baru lahir, serta menculik kanak-kanak di bawah umur.

Sumber: New York Post

Nadhirah