Siakap Keli
wanita hamil tujuh bulan ditemukan mati

11 Individu Ditahan Berkaraoke Langgar SOP PPN Fasa 3

TUMPAT, 29 Dis (Bernama) — Polis menahan 11 individu termasuk lima wanita berusia 31 hingga 66 tahun selepas didapati berkaraoke ketika negeri itu masih berada di Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) di dalam sebuah bangsal di Kampung Pasir Parit dekat Tok Uban di sini, pada pukul 11.30 malam tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata siasatan awal mendapati karaoke itu beroperasi tanpa lesen sejak dua bulan lepas.

“Hasil saringan awal air kencing keatas semua suspek mendapati, tiga wanita berusia antara 39 hingga 46 tahun positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas di IPD Tumpat, di sini, hari ini.

“Kita sedang memohon perintah reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Terdahulu Shafien menyaksikan majlis serah terima tugas antara Supt Ab Rashid Mat Daud yang telah bersara dan Ketua Polis Daerah Tumpat yang baharu Supt Mohd Azmir Damiri.

Sumber: Bernama

Eyla Azri