Siakap Keli
Gambar Hiasan via Bernama

Hargai ‘Pengorbanan’ Kaum Wanita, 4 Insentif Ini Bakal Diberikan Kepada Usahawan Wanita Pada Tahun 2022

Seperti yang kita tahu, situasi yang melanda negara sejak awal tahun lalu memberi  impak yang besar kepada kebanyakan rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat. Antara yang turut terjejas semasa fasa pandemik ini termasuk para usahawan terutama yang berniaga pada skala kecil dan sederhana.

Kelompok usahawan terkesan ini juga terdiri daripada usahawan wanita yang turut menjadi penyumbang kepada produktiviti dan ekonomi negara. Setelah dua tahun jatuh bangun mereka meneruskan perniagaan dalam fasa pandemik ini, kerajaan Malaysia melalui inisiatif pembangunan wanita telah merencanakan beberapa program untuk meringankan beban usahawan wanita.

MyKasih Kapital

Insentif yang bakal dilaksanakan kerajaan untuk membantu usahawan wanita yang terjejas termasuk program MyKasih Kapital. Program ini diwujudkan untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah. Insentif dalam bentuk bantuan asas modal perniagaan akan diberikan di samping program bimbingan bagi menggalakkan golongan wanita berniaga secara dalam talian.

Gambar Hiasan via Google

Insentif di bawah program MyKasih Kapital ini memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM6.25 juta, dijangka memberi manfaat kepada 5,000 peserta termasuk 2,000 ibu tunggal.

Yayasan Kepimpinan Wanita

Selain itu, kerajaan juga menyediakan RM5 juta ringgit kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi merancakkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi yang meliputi latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan.

Insentif DanaNita dan TekunNita

Bagi membantu usahawan wanita yang terkesan, RM230 juta dana pembiayaan diperuntukkan kerajaan bagi membantu usahawan wanita selain meningkatkan kapasiti perniagaan mereka. Insentif ini akan diberikan melalui dua program iaitu DanaNita dan TekunNita.

Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNita) adalah dana pembiayaan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk usahawan wanita. TekunNita pula merupakan dana pembiayaan melalui TEKUN Nasional dengan objektif yang sama iaitu membantu usahawan wanita yang terkesan.

Gambar via Bernama

Program yang bakal dilaksanakan pada tahun 2022 ini merupakan satu bentuk penghargaan dari kerajaan Malaysia kepada kaum wanita, baik golongan suri rumah mahupun wanita berkerjaya. Seperti yang diucapkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 Oktober lalu, “Kita harus akui pada tangan suri kita, tersemat keringat yang menghayun buaian, yang memupuk dan sama menyumbang kepada kehidupan.”

Eyla Azri