Siakap Keli
Kredit: Sinar Harian

Kenderaan Bertembung Mengakibatkan Dua Maut, Dua Parah Di Kilometer 34 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar

Hari demi hari, kes kematian melibatkan kemalangan jalan raya semakin banyak dan membimbangkan ramai pihak. Pengguna jalan raya haruslah berhati-hati semasa berada di jalan raya agar dapat mengurangkan kadar kemalangan berlaku.

Terbaharu, satu kemalangan telah berlaku di Kilometer 34 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar. Kemalangan ini telah mengorbankan dua nyawa selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) pada malam Ahad.

Dua orang yang maut merupakan pemandu kereta berusia 20 tahun dan penumpang kereta berusia 22 tahun. Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Azizan Hassan, kejadian berlaku ketika kereta jenis Proton Saga yang dinaiki mangsa sedang menghala ke Kuala Kangsar dari Ipoh kira-kira jam 10.20 malam.

Setibanya di lokasi kejadian, kereta mangsa telah terbabas dan memasuki arah bertentangan sebelum bertembung dengan MPV jenis Proton Exora yang dipandu seorang anggota polis berusia 41 tahun bersama empat ahli keluarga.

“Akibat perlanggaran itu, pemandu dan penumpang kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu MPV tidak mengalami kecederaan. Dua orang penumpang MPV mengalami kecederaan parah dan dua orang lagi mengalami cedera ringan. Kesemua mangsa kemalangan dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian

Akhmar Ikmal

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.