Siakap Keli
Gambar via Indiatimes

Lelaki Didakwa Hubungi Ambulans 39 Kali Setahun Supaya Boleh ‘Tumpang’ Balik Ke Rumah Di Sebelah Hospital

Ambulans merupakan kenderaan yang digunakan di bawah perkhidmatan kecemasan. Kenderaan tersebut tidak sepatutnya digunakan tanpa sebab dan hanya perlu dihubungi sekiranya berlaku kecemasan sebenar.

Lain pula ceritanya apabila seorang lelaki Taiwan telah diberi amaran oleh sebuah hospital selepas dia menghubungi ambulans sebanyak 39 kali dalam masa setahun.

Lelaki tersebut dipercayai akan menghubungi ambulans tersebut hanya untuk mendapatkan perkhidmatan ‘teksi’ percuma sahaja, memetik daripada laporan India Times,

Berdasarkan laporan, lelaki terbabit tinggal berhampiran dengan kawasan hospital dan tidak mahu berjalan pulang ke rumahnya. Jadi, dia telah menghubungi perkhidmatan ambulans itu untuk mengambilnya dari pasar raya.

Selepas ambulans membawanya ke hospital, dia akan turun dan hanya akan berjalan dari kawasan hospital ke rumahnya.

Namun, jarak antara rumahnya dan pasar raya itu dikatakan hanya 200 meter sahaja.

Kelakuannya terbongkar apabila dia telah ditangkap oleh pihak berkuasa kerana menyalahgunakan perkhidmatan tersebut.

Menurut laporan Global Times, lelaki itu sering berpura-pura sakit dan menggunakan alasan tersebut untuk menghubungi ambulans. Sekiranya ambulans mengambilnya, maka dia tidak perlu berjalan kaki dari pasar raya ke rumahnya.

Kakitangan hospital segera menghubungi pihak polis selepas menyedari bahawa dia akan berlalu pergi sebaik sahaja sampai ke hospital tanpa membuat pemeriksaan mengenai ‘penyakit’nya.

Pihak polis dipercayai telah memberikannya amaran bahawa jika dia terus melakukan perkara ini sekali lagi, dia akan dikenakan hukuman.

Sumber : India Times

Fathin Nadzira