Siakap Keli
Gambar: Bernama

106,352 Anggota PDRM Tunggu Giliran Janji Temu Dos Penggalak

GEORGE TOWN, 30 Nov (Bernama) — Seramai 106,352 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu giliran janji temu menerusi aplikasi MySejahtera bagi menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata setakat ini 8,733 anggota yang menerima suntik dos penggalak manakala 106,352 anggota masih menunggu giliran temu janj mereka.

“Kami sentiasa memberi galakan penuh kepada semua pegawai dan anggota untuk menerima suntikan dos penggalak dan yakin sasaran 100 peratus penerima dos penggalak akan dicapai dalam kalangan warga PDRM,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Asnaf PDRM dan Pesara Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Mazlan berkata setakat ini, tiada sebarang isu anggota polis yang menolak untuk divaksin, namun pihaknya tidak memaksa jika anggota yang mempunyai masalah kesihatan yang telah diberi pengecualian daripada pihak doktor.

Terdahulu, beliau yang hadir dalam lawatan kerjanya turut menyampaikan sumbangan daripada Tabung Wakalah Zakat PDRM Bukit Aman berupa barangan keperluan asas dan sejumlah wang tunai kepada 40 asnaf PDRM dan pesara polis di Kontinjen Pulau Pinang yang layak berdasarkan syarat yang ditetapkan.

Sementara itu, Mazlan berkata Pulau Pinang bakal mendapat bangunan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) yang baharu di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) membabitkan peruntukan sebanyak RM300 juta.

Katanya projek baharu IPK itu dan 200 unit kediaman itu dicadangkan akan dibina di Lot 9014, 9015 dan 4384 Sungai Dua di daerah Timur Laut Pulau Pinang.

“Saya mendapat tahu bahawa kini ia dalam proses untuk ditender oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR). Jadi dengan adanya bangunan IPK yang baharu ini, kita harap warga PDRM negeri ini dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyatnya,” katanya.

Antara kemudahan lain yang turut dibina termasuklah bangunan pentadbiran, lokap, bangunan Cawangan Khas, lapang sasar tertutup, kantin, auditorium serta kuarters kelas E sebanyak 50 unit dan kelas F sebanyak 150 unit.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story