Siakap Keli
Kredit: Getty Images/Science Photo Library RF via Mirror

Berbeza Dari Varian Delta, Pakar Dedah Keletihan Ekstrim Antara Simptom Varian Omicron

Simptom-simptom yang dialami individu yang dijangkiti varian COVID-19 terbaharu, B.11.529 atau Omicron dipercayai adalah berbeza berbanding varian Delta, kata pakar.

Pengerusi Persatuan Perubatan Afrika Selatan, Dr. Angelique Coetzee berkata, simptom tersebut dilihat seakan menyamai dengan jangkitan virus yang normal berdasarkan gejala yang ditunjukkan oleh tujuh pesakit di klinik beliau.

Memetik laporan Mirror, Dr. Coetzee yang merupakan antara orang pertama yang mengesyaki varian Omicron, memaklumkan bahawa pesakitnya hanya mengalami gejala keletihan yang ekstrim, lenguh otot yang sederhana, sakit tekak serta batuk kering.

Tidak seperti varian sebelumnya, varian ini tidak menyebabkan kehilangan rasa atau bau, tambahnya.

Menurut Dr. Coetzee, berbanding varian Delta, simptom Omicron hanyalah ‘sangat-sangat ringan’, di mana tiada pesakit yang perlu menjalani pembedahan akibat jangkitan setakat ini.

Malah katanya, kebanyakan pesakit yang dijangkiti varian Omicron setakat ini akan dirawat di rumah sahaja.

Meskipun kes jangkitannya belum berada di tahap teruk, bagaimanapun Dr. Coetzee tetap bimbang mengenai individu yang masih belum menerima vaksin.

“Apa yang kita risau sekarang adalah mereka yang berusia serta golongan yang tidak divaksin.

“Jika mereka tidak divaksin, kita akan melihat ramai lagi individu yang dijangkiti jangkitan tersebut,” katanya, memetik Mirror.

Imbas kembali, penemuan varian Omicron disahkan WHO apabila kes-kes awal dikesan di Botswana, Afrika Selatan dan Hong Kong pada minggu lepas.

Sumber: Mirror

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'